'Iraq bukan, Malaysia pun bukan', Jaami Qureshi ikut jejak Liridon Krasniqi sertai Baller League


  • Podium
  • Rabu, 12 Mac 2025

Jaami akan beraksi dalam Baller League cawangan UK bersama VZN FC.

SELEPAS sekian lama tidak mendengar khabar berita pemain warisan England-Malaysia, nama Jaami Qureshi kembali timbul.

Pemain berusia 22 tahun itu disahkan bakal menyertai sebuah kelab amatur yang bersaing dalam kejohanan Baller League cawangan United Kingdom (UK) yang bermula 24 Mac nanti.

Bekas graduan Akademi Brighton & Hove Albion itu terpaksa mencari kelab baharu untuk terus kekal aktif selepas dia baru pulih daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada 2022.

BACA LAGI: [VIDEO] Tolak tepi rasa gembira, aksi Dion Cools pujuk Arif Aiman sentuh hati fans Malaysia

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan buat benda bomoh, pemilik Buriram United hanya berdoa sebelum tewaskan JDT

Sebelum ini, Jaami menyertai Cobham FC dalam saingan liga bawahan England dan dikhabarkan sudah mencipta impak positif bersama kelab tersebut.

Pemain yang pernah menolak tawaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu juga diberitakan menandatangani kontrak bersama Juga Walton Hersham FC selepas mendapat kebenaran dari FA England.

 

 

Dengan menyertai VZN FC dalam Baller League, Jaami sekali gus mengikuti jejak langkah pemain naturalisasi kebangsaan, Liridon Krasniqi yang beraksi di Baller League cawangan Jerman bersama Kafig Tiger FC.

Dalam kejohanan itu, Liridon boleh dianggap salah seorang bintang kerana berjaya menjaringkan beberapa gol dan bantuan 'assist' buat rakan sepasukannya.

Liridon pernah beraksi bersama-sama legenda bola sepak seperti Kevin Prince Boateng semasa dia bermain di Baller League.

Sama seperti Jaami, pemain itu juga bakal berganding bahu bersama Jerome Sinclair dan menentang bekas pemain Liga Perdana Inggeris (EPL) seperti Jordan Ibe dan Bakary Sako.

 

 

Sebelum ini, timbul isu antara pihak Jaami dan FAM ketika beredar khabar yang mengatakan dia bakal beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Bapanya iaitu Perviz Qureshi menegaskan FAM tidak pernah menghantar jemputan kepada Jaami bagi beraksi bersama pasukan negara.

"Tiada jemputan rasmi dari FAM, hanya komen di khalayak umum mengenai (FAM) meletakkan Jaami dalam pemerhatian mereka. Tiba masa untuk berubah," kata Perviz.

Sebelum ini, Perviz menegaskan skuad kebangsaan Iraq ada menghubunginya mengenai kemungkinan Jaami beraksi bersama pasukan itu di peringkat antarabangsa pada masa akan datang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram