'Kami berusaha untuk terus kekal di Liga Super', Daud Bakar jawab masa depan Sang Kenari


  • Podium
  • Khamis, 13 Mac 2025

KDA FC akan terus beraksi dan terus berjuang untuk kekal dalam saingan liga domestik. — Facebook

PEMILIK majoriti Kedah Darul Aman FC, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar tampil menafikan kenyataan yang dikongsikan oleh Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai nasib skuad Sang Kenari pada musim depan.

Tunku Ismail sebelum ini menyatakan bahawa Sang Kenari tidak akan beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan ketika dalam sesi soal jawab bersama penyokong Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Rabu.

Dalam penafian yang dikongsikan di laman rasmi Facebook kelab, Mohd Daud menegaskan bahawa tiada sebarang keputusan yang diambil mengenai penarikan pasukan dari saingan Liga M.

BACA LAGI: JDT mungkin terpaksa beraksi tanpa penonton angkara kes baling botol

BACA LAGI: 'Warm the bench', fans Sang Penyu tak restu Safawi Rasid kembali ke JDT

"Buat seluruh warga Hijau Kuning Sang Kenari KDA FC yang dihormati lagi disayangi. Seperti yang anda sedia maklum, isu mengenai KDA FC tidak akan berada dalam Liga Malaysia musim hadapan sudah menjadi tular dalam media sosial hari ini. Ianya bukanlah keputusan pihak KDA FC secara faktanya.

"Saya dan pihak pengurusan sentiasa berkomunikasi dengan pihak pengendali liga untuk mematuhi dan mencukupkan segala keperluan Perlesenan Kelab dalam tempoh yang ditetapkan oleh pihak Club Licensing Body MFL.

"Kita tidak pernah ada niat untuk membubarkan pasukan dan kita juga tidak pernah menghantar apa-apa surat yang berkaitan memberi gambaran bahawa kita ingin meninggalkan Liga Malaysia," katanya.

Di samping itu, Mohd Daud turut menjelaskan bahawa KDA FC akan terus beraksi dan terus berjuang untuk kekal dalam saingan liga domestik.

"Kami akan terus berjuang dan berusaha untuk terus kekal di Liga Super musim hadapan. Tidak ada yang sia-sia apabila kita berusaha dan berjuang. Yang sia-sia adalah tidak berusaha dan tidak buat apa-apa.

"Semoga kenyataan ini memberi sedikit pencerahan dan keyakinan untuk semua. Kita akan teruskan usaha tetapi hasil akhirnya adalah dalam ketentuan Allah SWT.

"Saya doakan semua kita dapat menjalani ibadah puasa dengan tenang dan sentiasa mendoakan yang terbaik kepada pasukan kesayangan kita yang bersejarah dan dekat di hati kita," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram