Aksi berdepan anak buah Aidil Sharin penting buat Selangor kekalkan prestij


  • Podium
  • Ahad, 16 Mac 2025

Skuad Gergasi Merah pasti bercita-cita besar untuk membawa pulang tiga mata penuh dari Stadium Negeri Sarawak. — Facebook/Selangor FC

MUSIM bergolak dialami Selangor FC berakhir dengan sedikit kelegaan apabila mereka menjulang MFL Challenge Cup yang merupakan trofi pertama selepas kali terakhir meraih gelaran pada 2015.

Namun, ia bukanlah hadiah terbesar buat skuad Gergasi Merah kerana bagi penyokong, pencapaian terbaik buat mereka adalah apabila mereka muncul naib juara Liga Super.

Kedudukan berkenaan disahkan setelah mereka memiliki kelebihan 10 mata berbanding Sabah FC dengan hanya tiga perlawanan berbaki, sekali gus mengesahkan kelayakan automatik ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan.

BACA LAGI: Ada import Jepun musim depan, 3 pemain mungkin ikut Kinoshi sertai Selangor FC

BACA LAGI: Sekali lagi layak ke Asia, pengaruh Kinoshi mampu bawa Hiroki Sakai sertai Selangor

Skuad Gergasi Merah layak ke ACL Two musim depan selepas menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua. Facebook/Selangor FC

Bagaimanapun, bagi peminat setia pasukan, fokus sepenuhnya masih perlu diberikan anak-anak buah Katsuhito Kinoshi sebelum kempen Liga Super 2024/25 berakhir.

Ini kerana sikap sambil lewa boleh meranapkan mentaliti pemain memasuki musim baharu dengan pemikiran sedemikian kerap mematahkan momentum pasukan saban tahun.

Hal itu turut ditegaskan pemerhati bola sepak tanah air, Prof Madya Zulakbal Abd Karim yang melihat Selangor FC tidak boleh mengambil aksi berbaki dengan sebelah mata, terutamanya ketika berdepan Kuching City FC pada Ahad.

"Saya fikir ia masih penting buat Selangor FC kerana mereka perlu memiliki mentaliti untuk mengekalkan prestij sebagai naib juara Liga Super. Jadi, tidak boleh ambil mudah, perlu bersungguh-sungguh dan menampilkan persembahan terbaik.

Skuad The Cats meraih kemenangan ketika kali terakhir mereka menerima kunjungan Selangor FC. Facebook/Kuching City FC

"Saya juga percaya mereka memiliki peluang untuk menyelitkan muka-muka baharu dan pemain muda berpotensi besar dalam perlawanan ini. Namun, seperti saya katakan, Selangor perlu memberikan aksi terbaik untuk menjaga prestij sebagai pasukan kedua liga," katanya kepada Majoriti.

Perlawanan antara kedua-dua pasukan di Stadium Negeri Sarawak itu pasti menarik untuk disaksikan kerana Kuching City FC juga bercita-cita besar untuk meraih kemenangan.

Ini kerana tiga mata penuh yang dikutip di laman sendiri boleh mengikat mereka dengan Sabah FC di tangga ketiga Liga Super dengan kedudukan berkenaan akan membakar semangat pasukan.

Malah, rekod pertemuan terdahulu antara mereka di venue tersebut menyaksikan skuad The Cats meraih kemenangan 2-1 dalam pertemuan suku akhir Piala FA.

Jimmy Raymond perlu diperhatikan skuad Gergasi Merah dalam perlawanan itu. — Facebook/Kuching City FC

Dalam pada itu, Zulakbal turut menegaskan pemain pertahanan Kuching City FC, Jimmy Raymond perlu diawasi Selangor FC kerana dia memiliki kualiti tersendiri sehingga dapat menembusi skuad kebangsaan sebelum ini.

"Baru-baru ini, dia tidak tersenarai dalam pemain Harimau Malaya yang dipanggil, tetapi sebelum ini dia pernah diberi peluang. Jadi, saya fikir dia boleh diperhatikan.

"Lagipun, dia yang tidak disenaraikan bersama skuad kebangsaan barangkali mahu membuktikan sesuatu. Jadi, sekiranya tidak dijaga dengan baik, dia akan memberi cabaran buat Selangor FC," katanya.

Jimmy Raymond merupakan antara pemain paling konsisten buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak musim ini dengan 25 penampilan direkodkan di pentas domestik.

Bek sayap berusia 28 tahun itu sememangnya wajar diperhatikan Kinoshi yang akan mencari jalan terbaik untuk melepasinya dalam usaha mencipta peluang dari bahagian sayap. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram