[VIDEO] Insiden baling botol: TMJ, JDT sedia terima denda berat AFC, ingatkan fans terbuka terima kekalahan


  • Podium
  • Khamis, 13 Mac 2025

Penjaga garisan dalam aksi antara JDT dan Buriram United menjadi mangsa tohmahan penyokong.

KEKALAHAN penuh kontroversi dialami Johor Darul Ta'zim (JDT) kepada Buriram United memadam hasrat kelab Selatan tanah air itu untuk mara ke peringkat suku akhir Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite.

Perlawanan itu dicemari beberapa insiden pengadilan, termasuk keputusan yang membatalkan jaringan Jorge Obregon yang kelihatan berada dalam kedudukan sah, namun pandangan sebaliknya diberikan pegawai video bantuan pengadil (VAR).

Keputusan pengadil itu sememangnya sukar diterima sebahagian penyokong di Stadium Sultan Ibrahim, Johor sehingga bertindak membaling objek asing terhadap penjaga garisan.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan buat benda bomoh, pemilik Buriram United hanya berdoa sebelum tewaskan JDT

BACA LAGI: 'JDT-Selangor bersaudara', menang di SSI buka peluang bantu Gergasi Merah main di pentas ACLE

Meskipun tidak mengenai pegawai perlawanan, sikap sedemikian menerima perhatian pihak media yang beranggapan JDT akan menerima hukuman berat daripada AFC.

Situasi tersebut turut menerima perhatian pemilik kelab, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang bersedia dengan apa jua bentuk badan pengelola bola sepak Asia tersebut.

"Walaupun nak kata keputusan menyakitkan, saya pun tak bertindak begitu. Kena fikir kesan kerana sudah tentu akan ada denda besar daripada AFC," katanya.

Tunku Ismail berkata demikian dalam sesi soal jawab bersama penyokong di JDT Cafeteria dekat Pusat Latihan JDT, Padang Seri Gelam, Johor pada Rabu.

Tunku Ismail membuat teguran terhadap sikap segelintir penyokong yang hanya menconteng nama pasukan. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Teguran turut dibuat pemangku Sultan Johor tersebut yang mengingatkan penyokong supaya terbuka dalam menerima kekalahan meskipun terdapat isu pengadilan sepanjang perlawanan.

"Tingkah laku anda bawa kesan kepada kelab, jangan ikut emosi. Kalah adalah kalah, itu sukan. Awak suka atau tidak, kena terima. Saya tak salahkan mana-mana pihak. Ada pengadil buat keputusan tidak membelahi kita.

"Saya lebih tumpu macam mana nak perbaiki diri sendiri, pasukan kita. Saya tak mahu salahkan mana-mana pihak kerana kalah tetap kalah. Jadi, tanggungjawab saya untuk perbaiki pelbagai aspek," katanya.

Setakat ini, AFC masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung insiden itu dengan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John masih menunggu laporan pegawai perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram