Kontrak Megat Amir hampir tamat bersama NSFC, jangan tunggu lama-lama Penang nanti dikebas TBG


  • Podium
  • Isnin, 10 Mac 2025

Penyokong Penang FC berharap agar pihak pengurusan kelab segera menawarkan kontrak kepada jurulatih penjaga gol, Megat Amir (kiri).

JAWATAN pengendali atau ketua jurulatih lebih banyak mendapat sorotan media dan perhatian penyokong bola sepak dek mereka individu yang akan mencorakkan permainan untuk perlawanan liga mahupun kejohanan lain.

Selain pengendali, jurulatih penjaga gol juga memainkan peranan besar susulan mereka adalah elemen penting dalam kejayaan sesebuah pasukan, kerana penjaga gol yang hebat boleh menjadi benteng terakhir yang menentukan kemenangan atau kekalahan. 

Dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) ketika ini, nama Megat Amir Faisal Ibrahim antara yang popular kerana individu itu melahirkan penjaga gol kebangsaan semasa, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed.

BACA LAGI: Gagal raih 3 mata di Manjung, hasrat Yusri Che Lah baiki kedudukan liga TBG terbantut

BACA LAGI: Kiper NSFC ibarat '2 pemain', Perak FC sia-sia peluang buru kedudukan Top 6

Megat Amir kini ditugaskan untuk menjadi jurulatih penjaga gol Negeri Sembilan FC (NSFC) dan sepanjang berkhidmat bersama skuad Jang, Syihan Hazmi (Johor Darul Ta’zim), Sikh Izhan (Penang FC) dan Damien Lim dari Sabah FC antara bintang yang dilahirkannya.

Sumbangannya dalam melahirkan dan membentuk penjaga gol berkualiti itu membuatkan para penyokong Negeri Sembilan berharap agar pihak pengurusan menyambung kontraknya untuk beberapa musim lagi. 

"Damien Lim, Syihan Hazmi, Firdaus Irman, Sikh Izhan dan kini Aqil Razak. Nama-nama penjaga gol yang tidak asing lagi untuk Jang selama tiga ke empat musim ini dan siapakah jurulatihnya? Tak lain dan tak bukan, coach Megat Amir Faisal.

"Jurulatih legenda, jurulatih penjaga gol terbaik Malaysia. Terima kasih coach atas jasa-jasa coach dalam 'melahirkan' penjaga gol kebangsaan dan terbaik untuk Negeri Sembilan khususnya. 

"Harap NSFC sambung lagi kontrak untuk coach Megat Amir tahun-tahun ke hadapannya," harapan yang diletakkan oleh laman penyokong NSFC, State of Nine FC

Syihan Hazmi antara anak didik Megat Amir.

Bagaimanapun, Negeri Sembilan menerima cabaran hebat apabila penyokong Penang FC juga difahamkan mahu menggesa pihak pengurusan mereka untuk mendapatkan khidmat anak jati Pulau Mutiara itu. 

Untuk rekod, Megat Amir memulakan kerjayanya dengan pasukan remaja Pulau Pinang dan kemudiannya dipilih sebagai salah seorang penjaga gol pasukan Olimpik 2000 negara yang bermain dalam Liga M untuk musim 1999.

"Penang Football Club cargas (cergas) buat kerja. Kontrak Megat habis hujung musim ni. Berubahlah jangan lengai. Dulu kini selamanya takkan nak lengai saja," gesa laman penyokong Harimau Kumbang, Penang Brotherhood. 

Selain Penang FC, Perak juga berpotensi untuk merampas khidmat Megat Amir susulan kecenderungan skuad The Bos Gaurus (TBG) yang gemar menggunakan kepakaran bekas pemain mereka sebagai kakitangan jurulatih.

Misalnya, bekas lagenda Perak iaitu V. Saravanan diberi kepercayaan untuk menjadi penolong ketua jurulatih untuk pasukan Piala Presiden Perak FC sebelum kembali melatih kelab lamanya, HJK Helsinki di Finland.

Selain itu, pengendalinya ketika ini, Yusri Che Lah juga merupakan bekas pemain kelab Utara tanah air itu, sekali gus menceritakan kecenderungan pasukan tersebut untuk melantik mereka yang mengetahui selok-belok mengenai Perak FC

Oleh itu, Megat Amir yang pernah bermain untuk Perak FC selama setahun (2009-2010) pastinya tidak teragak-agak untuk menerima kontrak TBG jika mendapat tawaran daripada kelab tersebut. — Majoriti 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram