Usah biar isu dalaman lunturkan motivasi pemain, Alex seru penyokong Tok Gajah turun SNBJ


  • Podium
  • Jumaat, 14 Mac 2025

Azamuddin membantu Pahang merangkul kejuaraan treble Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih pada musim 2014. — Agensi

BEKAS pemain skuad Tok Gajah, Azamuddin Akil menyeru penyokong teruskan semangat untuk turun ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur bagi aksi final Piala Malaysia antara Sri Pahang FC dan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 12 April depan.

Enggan memikirkan mengenai isu dalaman yang menghimpit kelab kesayangannya itu, Azamuddin berharap perkara itu tidak melunturkan motivasi barisan pemain dan juga penyokong untuk terus menghangatkan lagi aksi final nanti.

Pemain yang lebih mesra disapa Alex pernah memenangi kejuaraan Piala Malaysia bersama Pahang pada musim 2013 dan 2014 itu tetap positif mengenai masa depan skuad Tok Gajah pada musim hadapan.

BACA LAGI: Dikhabar kembali ke Liga Super, fans anggap Brunei tak sekuat Kedah, Pahang untuk cabar JDT

BACA LAGI: Liga M makin hilang seri, skuad Tok Gajah, Sang Kenari ucap selamat tinggal

Dia yang juga pernah menyarung jersi Kedah FA dan Selangor FC itu ingin melihat perlawanan final pada 12 April depan akan menjadi pertarungan yang tetap diingati oleh seluruh penyokong.

“Pendapat saya, barisan pemain diharapkan dapat meneruskan fokus mereka untuk aksi final pada 12 April ini dan berkenaan pembubaran pasukan ini pada musim depan, seeloknya serahkan sahaja kepada pihak pengurusan.

“Saya tetap positif dengan masa depan kelab ini sebab kita tahu semua rakyat Pahang menyayangi pasukan ini dan kalau tiada Sri Pahang, ia akan jadi kehilangan yang besar.

“Jadi saya tetap berharap perlawanan final itu nanti akan menjadi aksi yang diingati dan saya menyeru kepada semua penyokong untuk tetap hadir ke stadium sokong pasukan Pahang.

“Kalau kemungkinan kelab ini tetap bubar, sekurang-kurangnya kita jadikanlah perlawanan final ini nanti sebagai satu kenangan manis untuk kita semua yang sayangkan pasukan Pahang,” katanya memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL). 

Azamuddin merupakan bekas pemain kelahiran Pahang yang tidak asing lagi dalam pasukan ini terutamanya apabila dia pernah memenangi kejuaraan Piala Malaysia bersama Pahang pada musim 2013 dan kejuaraan berganda Piala FA dan Piala Malaysia pada 2014. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram