'JDT-Selangor bersaudara', menang di SSI buka peluang bantu Gergasi Merah main di pentas ACLE


  • Podium
  • Selasa, 11 Mac 2025

Selangor FC berpeluang beraksi di peringkat play-off ACLE pada musim depan jika JDT menang di suku akhir. — Facebook/SelangorFC

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) pastinya akan memanfaatkan beraksi di halaman sendiri untuk menundukkan Buriram United dalam perlawanan timbal balik kedua Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Selasa.

Kedua-dua pasukan yang masing-masing tidak membawa bekalan dari aksi pertama di Chang Arena, Buriram, Thailand pada 4 Mac lalu dijangka akan menghidang aksi intensiti tinggi untuk mendapatkan slot ke suku akhir.

Slot suku akhir itu boleh membuka peluang buat wakil Malaysia mahupun wakil Thailand berkenaan untuk berdepan dengan bintang bola sepak dunia seperti Cristiano Ronaldo bersama Al-Nassr yang baru-baru ini berjaya mengesahkan kemaraan ke peringkat itu.

BACA LAGI: Paha berbalut ketika latihan, ramai doa peledak JDT segera sembuh turun gempur Buriram United

BACA LAGI: JDT tak cukup kuat? Pemilik Buriram United mungkin tunggu masa telan kata-kata sendiri

Selain itu, jika Harimau Selatan merekodkan kemenangan ke atas Buriram United juga sebenarnya membuka peluang untuk Selangor FC untuk beraksi di peringkat play-off ACLE pada musim depan.

Perkembangan itu dikongsikan oleh pemerhati bola sepak tanah air, Fina Nasrom selepas wawancaranya bersama Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor Paul pada Selasa.

"Jika JDT lepasi saingan suku akhir di Riyadh nanti, Selangor berpeluang curi slot di play-off ACL elite musim depan. Apa apa pun malam ini JDT kena menang dulu dengan Buriram. JDT-Selangor bersaudara," kongsinya.

Windsor berkata, JDT banyak membantu Malaysia daripada segi mengutip mata dengan banyak pencapaian yang membanggakan. Sekiranya lolos di peringkat suku akhir nanti, perubahan Ranking MA AFC Malaysia akan berlaku.

 

 

Juara Piala Cabaran itu sebelum ini sudah mengesahkan status Selangor FC sebagai naib juara Liga Super buat musim kedua berturut-turut, sekali gus menggenggam tiket ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2).

Gergasi Merah mengesahkan slot ke Asia selepas membelasah Kelantan Darul Naim (KDN) FC 7-0 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya, Selangor pada Sabtu lepas.

Kemenangan besar berkenaan membolehkan anak buah Katsuhito Kinoshi berkelebihan 10 mata di depan Sabah FC di tangga ketiga ketika masing-masing hanya berbaki dua perlawanan dalam tangan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram