
MISI Johor Darul Ta'zim (JDT) untuk melakar episod baharu dalam sejarah kelab tidak kesampaian apabila mereka ditunjukkan jalan keluar dari saingan Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite di tangan Buriram United.
Kekalahan kepada wakil Thailand itu menyaksikan kemaraan skuad Harimau Selatan di pentas Asia musim ini terhenti di peringkat 16 pasukan meskipun sudah berbelanja besar dalam membawa masuk pemain baharu.
Bagaimanapun, penyokong kelab Selatan tanah air itu berasakan keputusan di laman sendiri tersebut sukar diterima memandangkan mereka ditunjukkan jalan keluar dengan penuh kontroversi.
BACA LAGI: [VIDEO] Bukan buat benda bomoh, pemilik Buriram United hanya berdoa sebelum tewaskan JDT
Pengadil membatalkan jaringan Obregon yang dianggap berada dalam keadaan ofsaid.
Ini kerana dua gol daripada anak-anak buah Hector Bidoglio, termasuk daripada Jorge Obregon pada minit-minit akhir dibatalkan atas faktor ofsaid.
Namun, semakan ulang tayang perlahan mendapati pemain kelahiran Colombia berkenaan berada dalam kedudukan sah sebelum meledak jaringan terbabit, sekali gus membuatkan aksi pada Selasa itu penuh dengan isu pengadilan.
Keputusan tersebut menyebabkan penyokong JDT berasa penyingkiran mereka daripada kempen ACL Elite kali ini pahit untuk ditelan kerana ia boleh dielakkan sekiranya tiada hal demikian berlaku.
Tetapi, ini bukanlah kali pertama skuad Harimau Selatan menjadi mangsa pengadilan memandangkan hal sedemikian pernah berlaku sepanjang kira-kira 10 tahun mereka berentap di pentas Asia.
1. JDT vs Kawasaki Frontale (2023)
Meskipun sudah bermusim-musim beraksi dalam ACL, JDT masih belum mencari kunci terbaik untuk melepasi cabaran kelab dari Jepun, termasuk Kawasaki Frontale selepas mereka diundi bersama-sama dalam Kumpulan I pada edisi lalu.
Bagaimanapun, skuad Harimau Selatan masih berjaya memberi tentangan ketika aksi di laman sendiri apabila hanya mengalami kekalahan tipis 0-1 hasil jaringan Marcinho.
Tunku Ismail meluahkan rasa kurang senang terhadap mutu pengadilan dan teknologi VAR.
Tetapi, keputusan itu masih boleh dielakkan jika pihak pengadilan dapat menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) sebaiknya dan menyedari bahawa penyerang Kawasaki Frontale itu berada dalam kedudukan ofsaid.
Kesilapan tersebut mengundang rasa kurang senang, termasuk daripada pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mengeluarkan kenyataan 'Ibarat beri kereta kepada monyet' di media sosial.
Kekalahan di tangan Kawasaki Frontale itu kemudian memberi kerugian buat skuad bimbingan Esteban Solari yang hanya menamatkan saingan di peringkat kumpulan.
2. JDT vs Shandong Taishan (2024/25)
Sebelum menjadi mangsa terhadap isu pengadilan ketika berdepan Buriram United, skuad Harimau Selatan turut mengalami nasib sama semasa menentang Shandong Taishan di peringkat kumpulan.
JDT sepatutnya dihadiahkan sepakan penalti pada babak pertama apabila tonggak pasukan, Arif Aiman Hanapi dijatuhkan penjaga gol tuan rumah ketika situasi satu lawan satu.
Bagaimanapun, semakan pengadil, Alireza Faghani menggunakan VAR menyaksikan keputusan itu kekal, sekali gus membuatkan emosi anak-anak buah Hector Bidoglio terus terganggu.
Pertikaian mengenai isu pengadilan turut berlaku apabila ramai beranggapan penyerang Shandong Taishan, Zeca berada dalam keadaan ofsaid sebelum menjaringkan gol.
Semua masalah yang timbul di China itu sekali gus membuatkan penyokong berang akan kekalahan JDT dengan kapten pasukan, Natxo Insa turut melepaskan kemarahan selepas perlawanan.
Kenyataan itu kemudian memakan diri apabila pemain warisan tersebut dikenakan denda AS$5,000 (RM22,000) oleh AFC kerana mempersoalkan mutu pengadilan dalam perlawanan.
3. JDT vs Ceres Negros (2017)
Lama sebelum menjadi pasukan mencabar di pentas Asia, JDT terlebih dahulu terpaksa bersaing di peringkat lebih rendah iaitu Piala AFC yang mengumpulkan lebih banyak kelab sekitar Asia Tenggara.
Namun, skuad Harimau Selatan juga pernah tersadung dalam pertandingan itu, termasuk pada edisi 2017 yang menyaksikan kemaraan mereka berakhir di peringkat separuh akhir zon ASEAN kepada Ceres Negros.
Pertembungan itu bagaimanapun tidak terkecuali dengan isu pengadilan, terutamanya dalam aksi timbal balik dengan skuad Harimau Selatan tewas 1-2 di Filipina.
Farizal (hitam) mempertikai mutu pengadilan sehingga menyaksikan digantung 12 bulan.
Penalti diberikan kepada tuan ruamh pada minit-minit akhir permainan jelas mengundang persoalan kerana asakan dilakukan bek tengah JDT, Aidil Zafuan ketika sepakan penjuru tidaklah terlalu kasar.
Bagaimanapun, bantahan kelab Liga Super itu tidak dilayan dengan sepakan itu kemudiannya disempurnakan Fernando Rodriguez, sekali gus menyaksikan skuad Harimau Selatan tersingkir.
Kontroversi tidak berakhir di situ apabila penjaga gol JDT, Farizal Marlis bertindak membuat protes terhadap pengadil selepas perlawanan sehingga mendesak AFC memberi penggantungan 12 bulan selain denda $40,000 atau RM170,000 berdasarkan nilai tukaran ketika itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram