Arne Slot pasrah hilang khidmat Trent, tapi yakin kehadiran bek Perancis sebelum final Piala Liga


  • Podium
  • Rabu, 12 Mac 2025

Trent dibawa keluar pada minit ke-73 ketika berdepan PSG akibat kecederaan kaki dialaminya. — Agensi

KEKALAHAN 1-4 dalam penentuan sepakan penalti kepada Paris Saint-Germain meleburkan hasrat Liverpool untuk menjuarai Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim ini.

Mereka yang mensia-siakan kelebihan beraksi di laman sendiri terlebih dahulu tewas 0-1 kepada wakil Perancis berkenaan dengan kedudukan itu sekali gus mengikat kedua-dua pasukan secara agregat.

Skuad The Reds kemudiannya ditunjukkan jalan keluar daripada kejohanan tertinggi Eropah itu selepas dua pemainnya, Curtis Jones serta Darwin Nunez gagal menyempurnakan sepakan masing-masing.

BACA LAGI: Jasad di Anfield jiwa di Madrid, Liverpool patut intai 3 calon pengganti Trent Alexander-Arnold

BACA LAGI: Real Madrid sanggup tunggu, tak mustahil Liverpool 'hilang' Trent secara percuma

Liverpool masih berpeluang mendakap Piala Liga musim ini. — Agensi

Penyingkiran itu menyaksikan Liverpool kini hanya berpeluang menjulang dua trofi bagi kempen 2024/25, iaitu Liga Perdana Inggeris (EPL) dan Piala Liga.

Bagaimanapun, cabaran baharu menanti pasukan kendalian Arne Slot itu kerana mereka berkemungkinan bakal kehilangan khidmat bek kanan, Trent Alexander-Arnold bagi perlawanan akhir Piala Liga.

Dia yang beraksi selama 73 minit ketika berdepan PSG terpaksa dibawa keluar akibat kecederaan buku lali dengan Liverpool meletakkan Jarell Quansah di posisi itu.

Berdasarkan pemerhatian awal, keadaan dialami pemain berusia 26 tahun itu agak merisaukan dengan Arne Slot bersedia untuk kehilangan khidmat pertahanan sayap utamanya itu.

Konate turut dikeluarkan dengan ramai beranggapan bek tengah tersebut mengalami kecederaan. — Agensi

"Ia bukanlah petanda yang baik ketika dia dikeluarkan. Daripada apa yang saya dengar, keadaannya agak merisaukan dan saya tidak yakin untuk dia beraksi dalam masa terdekat," katanya.

Kehadiran Trent amat diperlukan menjelang perlawanan akhir Piala Liga di Stadium Wembley, London menentang Newcastle United pada Ahad dengan ia merupakan peluang Arne Slot meraih gelaran pertamanya bersama Liverpool.

Pengurus kelahiran Belanda itu turut menjelaskan bahawa bek tengah, Ibrahima Konate tidak mengalami sebarang kecederaan ketika dibawa keluar pada masa tambahan.

Menurutnya, pemain antarabangsa Perancis tersebut hanya mengalami keletihan dan masih boleh diturunkan jika khidmatnya diperlukan dalam perlawanan akhir itu.

Sekiranya skuad The Reds tidak dapat menurunkan Trent dan Konate dalam pertembungan tersebut, ia akan menjadi cabaran besar buat mereka mempertahankan gelaran berkenaan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram