
INDONESIA terus serius memperkuatkan skuad kebangsaan apabila secara rasmi mengumumkan kemasukan tiga pemain baharu yang mana di antara mereka adalah bekas penjaga gol kelab gergasi Itali, Inter Milan.
Emil Audero yang mempunyai hubungan dengan Indonesia menyertai Sang Garuda selepas 13 tahun menunggu giliran dipanggil skuad senior Itali.
Ini kerana pemain berusia 28 tahun itu sudah sekian lama menjadi pemain tetap skuad muda The Azzuri di pelbagai peringkat umur sejak 2012
BACA LAGI: Tiada seorang pun 'pundit' ramal Liverpool bakal juara EPL 2024/25
BACA LAGI: 'Fusion' Arif Aiman-Bergson dalam liga perlu diterjemah padam ego Burriram United
Sejak era Antonio Conte sehingga Luciano Spalletti, Audero masih tidak mendapat tempat untuk beraksi di Itali meskipun pernah mewakili kelab-kelab gergasi Itali seperti Juventus, Sampdoria dan Inter Milan.
Pengumuman rasmi Audero menyertai revolusi Indonesia itu diumumkan oleh Persatuan Sepak Bola Indonesia (PSSI) di media sosial rasmi badan induk tersebut pada Isnin (10 Mac).
Persaingan merebut tempat pertama penjaga gol gawang Indonesia itu tidak mudah kerana sebelum ini PSSI membawa Maarten Paes yang sudah bersama Sang Garuda sejak tahun lalu.
Namun begitu, di sebalik penyertaan Audero ke Indonesia pernah timbul satu kontroversi membabitkan dirinya bersama ayahnya yang didakwa merendah-rendahkan Sang Garuda di pentas antarabangsa.
Pemain berketinggian 1.92 meter itu beberapa kali pernah menolak pelawaan PSSI untuk memperkuatkan Sang Garuda kerana dia yakin bakal menyertai skuad nasional Itali ke Piala Dunia.
Malah, ayahnya, Edy Mulyadi pula secara sombong mengkritik Indonesia yang dilabel tidak akan beraksi di Piala Dunia pada 2021.
Mulyadi turut menyuruh PSSI berpijak 'di bumi yang nyata' jika mahu merekrut anaknya yang ketika itu berada di landasan terbaik menyertai skuad nasional Itali.
"Mimpi sekali.
"Kalau si Emil (Audero) nak jadi pemain Piala Dunia ya harus diambil di sana (Piala Dunia). Indonesia layak ke Piala Asia pun tidak, apa lagi Piala Dunia.
"Tak perlulah (sertai Indonesia) apa sahaja yang boleh dicapai di Indonesia," kata Mulyadi pada 2021.
Sejak kenyataan itu dikeluarkan, pelbagai kecaman dilemparkan oleh Mulyadi dan Audero kerana menolak pelawaan mewakili Indonesia
Namun kini berbeza apabila Audero sah menyertai Indonesia bersama dua pemain lain, Joey Pelupessy dan Dean James sekali gus menamatkan segala kontroversi terkait dengan dirinya.
Jika semuanya berjalan lancar, Audero akan melakukan penampilan sulung bersama Indonesia menentang Australia pada 20 Mac sebelum menentang Bahrain lima hari kemudian.
Indonesia kini berada di landasan terbaik untuk beraksi di Piala Dunia 2026 jika mereka berjaya mengutip tiga mata penuh menentang Australia dan Bahrain nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram