Gara-gara gegaran otak bek Southampton, Liverpool dapat 6 penggantian pemain


  • Podium
  • Ahad, 09 Mac 2025

Liverpool memperoleh tiga mata selepas menewaskan Southampton pada Sabtu. — Agensi 

LIVERPOOL semakin kukuh di puncak Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Southampton di Anfield. Kejayaan itu membolehkan The Reds mengukuhkan kelebihan mereka kepada 16 mata, walaupun terpaksa bangkit daripada ketinggalan.

Southampton yang berada di kedudukan tercorot di bawah kendalian Ivan Juric mengejutkan tuan rumah apabila Will Smallbone memanfaatkan kesilapan antara Alisson Becker dan Virgil van Dijk untuk meletakkan pasukannya di hadapan. 

Namun, Liverpool kembali menyamakan kedudukan hanya enam minit selepas babak kedua bermula menerusi jaringan Darwin Nunez, sebelum penyerang Uruguay itu dijatuhkan tiga minit kemudian, sekali gus menghadiahkan penalti kepada pasukannya.

BACA LAGI: Tak cukup pedih Man United hilang Mainoo, Arsenal pula jadi pilihan striker idaman Amorim

BACA LAGI: Kobbie Mainoo pilih tinggalkan Man United, tambah derita Amorim

Mohamed Salah tampil menyempurnakan sepakan penalti sebelum menambah satu lagi jaringan dua minit kemudian dari jarak 12 ela. Gol kedua bintang Mesir itu disahkan selepas video bantuan pengadil (VAR) mengesan bola terkena tangan Yukinari Sugawara dalam kotak penalti. 

Bagaimanapun, tindakan membawa masuk pemain pertahanan, Jarell Quansah pada minit-minit akhir perlawanan berkenaan menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat dan pemerhati bola sepak.

Quansah dimasukkan pada minit-minit akhir perlawanan menentang Southampton. — Agensi

Pemain muda itu merupakan pertukaran keenam yang dilakukan Liverpool dalam perlawanan tersebut, sedangkan peraturan hanya membenarkan lima pertukaran. 

Walau bagaimanapun, pasukan tuan rumah berkenaan difahamkan mendapat kebenaran untuk pertukaran tambahan kerana bek Southampton, Jan Bednarek telah digantikan pada separuh masa pertama akibat kecederaan gegaran otak.

Pada tahun 2021, EPL melaksanakan peraturan tambahan penggantian tetap akibat gegaran otak yang diperkenalkan oleh Lembaga Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (IFAB). 

Bednarek dikeluarkan pada separuh masa pertama akibat kecederaan gegaran otak. — Agensi

"Jika pengadil menghentikan perlawanan kerana kecederaan berpotensi gegaran otak kepada seorang pemain, pasukan perubatan akan memasuki padang untuk membuat penilaian, sementara doktor di terowong akan menyemak rakaman video insiden tersebut.

"Doktor pasukan akan diberi masa secukupnya untuk membuat penilaian klinikal di atas padang. Jika terdapat simptom jelas gegaran otak atau bukti video menunjukkan kecederaan tersebut, pasukan dibenarkan menggantikan pemain itu dengan penggantian tetap tambahan," kata EPL.

Dengan kemenangan tersebut, Liverpool terus mengukuhkan dominasi mereka dalam saingan liga dan semakin menghampiri kejuaraan musim ini. — Agensi 

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram