
KEMENANGAN selesa diraih Kuching City FC dalam aksi tertangguh Liga Super selepas mereka menundukkan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan keputusan 3-0.
Dalam aksi di Stadium Negeri Sarawak pada Rabu, anak-anak buah Aidil Sharin Sahak memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila mendahului pada babak pertama menerusi Ahmad Hazwan Bakri.
Asakan diteruskan pasukan Borneo tanah air itu pada babak kedua sehingga membolehkan mereka berjaya menembusi gawang sebanyak dua kali lagi menerusi Ramadhan Saifullah dan Jordan Mintah.
BACA LAGI: Sebak lihat Sony, Nafuzi tinggalkan Kedah, Milos Gordic luah kebimbangan bersama Sang Kenari
BACA LAGI: Saya tidak mahu kata apa-apa... — Milos Gordic
Carta Liga Super yang menyaksikan skuad The Cats melonjak ke tangga keempat. — Facebook/MFL
Keputusan itu sememangnya diraikan ribuan penyokong di venue perlawanan kerana tiga mata dikumpul itu membawa skuad The Cats ke dalam kelompok empat teratas selepas memintas Terengganu FC.
Bagaimanapun, di sebalik kemenangan memberangsangkan itu, ada juga yang masih kurang berpuas hati dengan segelintir pemain, terutamanya terhadap penyerang berpengalaman, Tchetche Kipre.
Pemain berusia 37 tahun itu diletakkan dalam kesebelasan utama oleh Aidil Sharin berbanding Jordan Mintah yang perlu direhatkan selepas mengalami kecederaan kecil sebelum ini.
Namun, sepanjang berada di atas padang, Kipre berkali-kali mensia-siakan peluang, termasuk ketika memiliki peluang satu lawan satu dengan penjaga gawang KDA FC, Ifwat Akmal.
Kipre beberapa kali mensia-siakan peluang untuk menambah jaringan skuad The Cats. — Facebook/Kuching City FC
Malah, pada babak pertama perlawanan, pemain kelahiran Ivory Coast itu tidak peka ketika mencipta jaringan buat Ramadhan yang kemudiannya dibatalkan pihak pengadilan.
"Patutnya dikeluarkan Tchetche lebih awal. Nasib baik juga banyak dia sumbang buat pasukan," kata Jimmy Alif.
"Kenapa letak dia dalam kesebelasan utama? Patutnya masukkan sahaja Jordan Mintah dari awal," ujar Malik Mamat.
Kekecewaan terhadap Kipre bagaimanapun sedikit terpadam dengan kemenangan tersebut dengan Kuching City FC perlu meneruskan momentum untuk aksi ke-21 Liga Super menentang Selangor FC pada Ahad depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram