Saya tidak mahu kata apa-apa... — Milos Gordic


  • Podium
  • Khamis, 24 Okt 2024

Milos difahamkan tidak dapat pulang ke kampung halamannya di Serbia untuk menyambut kehadiran anak perempuannya.

JIKA bercakap mengenai Kedah Darul Aman (KDA) FC pada musim ini, masalah kewangan mereka yang akan menjadi sorotan utama dengan ia sudah menyinggah di kem Sang Kenari sejak penghujung tahun lalu.

Masalah gaji yang jelas menjadi barah dalam kem Hijau Kuning berkenaan semakin meresahkan para pemain pasukan itu susulan banyak komitmen perlu diselesaikan dengan wang gaji mereka.

Bukan hanya menganggu kehidupan seharian mereka, masalah gaji semakin membimbangkan apabila penyerang import Kedah iaitu Milos Gordic difahamkan tidak dapat pulang ke kampung halamannya di Serbia untuk menyambut kehadiran anak perempuannya.

BACA LAGI: 'Amanah harus dijalankan', Rizal Ghazali tak putus harap, tunggakan 7 bulan gaji 'settle'

BACA LAGI: Pegawai khas MB Kedah nafi kasari peniaga pasar malam, datang sekadar nak berbincang

Memetik laporan media sebelum ini, pemain berusia 32 tahun itu difahamkan hanya mampu menatap wajah anak perempuannya yang dilahirkan pada Rabu lalu menerusi telefon susulan tunggakan gaji membelenggu Kedah.

Milos ketika dihubungi Majoriti mengesahkan bahawa dia tidak dapat pulang ke kampung halaman susulan masalah gaji yang tengah melanda kelab namun percaya pihak pengurusan sedang berusaha sehabis baik.

"Malangnya, saya tidak dapat pulang ke rumah, kerana kelab menghadapi masalah besar. Saya tidak mahu berkata apa-apa tentang gaji dan saya tidak mahu bercakap buruk tentang Kedah. Saya pun sedang bergelut mengenai hal ini," katanya ringkas.

Pada aksi Kedah menang 1-0 ke atas Terengganu dalam aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Alor Setar sebelum ini, penyokong KDA FC, Hazriq Fahimy Abdullah menerusi perkongsian gambar di Facebook peminat, menunjukkan kain rentang ucapan tahniah kerana sudah bergelar bapa.

"Sahabatku sekalian, dia ni (Milos), di saat isterinya memerlukan dia di sisi, di saat zuriatnya sendiri baru keluar ke dunia ini, dia tak dapat nak bersama-sama di sisi insan tersayang dia sebagaimana insan lain mahukan.

"Manakan tidak, hendak terbang pulang pun tak punya wang. Berbulan-bulan tak dapat pulang, tak dapat gaji dan hanya mampu memendam perasaan dari dalam, betapa ALLAH yang Maha Mengetahui kepiluan itu andai kita pula di tempat dia.

Berdasarkan luahan salah seorang pemain Kedah iaitu Rizal Ghazali pada laman Instastory peribadinya, menceritakan bahawa skuad Hijau Kuning kini mengalami isu tunggakan gaji selama tujuh bulan.

Namun, setakat ini, kemelut dialami pemain Sang Kenari masih belum menemui jalan penyelesaian yang mendesak pemain mengambil langkah tersendiri untuk membuka mata pihak atasan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram