'Once upon a time', bek Tok Gajah kongsi kenangan bersama Selangor, hint sertai Gergasi Merah?


  • Podium
  • Khamis, 06 Mac 2025

Adam pernah menyarung jersi Selangor selama dua musim. — Facebook/Sri Pahang

NAMA bek tengah Liga Malaysia (Liga M), Adam Nor Azlin kembali menjadi tumpuan pada musim ini selepas dia merupakan salah satu tonggak penting untuk skuad Tok Gajah bagi saingan domestik musim 2024/2025.

Adam yang menyertai skuad Tok Gajah pada awal musim itu memutuskan untuk meninggalkan Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas enam musim menyarung jersi Harimau Selatan. Adam diikat oleh JDT sekitar penghujung 2017 selepas menampilkan aksi cemerlang bersama Selangor FC.

Keputusannya menyertai pasukan Pantai Timur itu nyata berbaloi apabila dia sudah merekodkan 214 penampilan domestik bersama Tok Gajah. Adam juga membantu Tok Gajah mara ke pusingan final Piala Malaysia selepas 11 tahun.

BACA LAGI: Lepas Adam Nor Azlin, giliran kiper Pahang luah isi hati isu kewangan Tok Gajah

BACA LAGI: Muda bukan alasan buat silap, Safwan 'gentleman' tanggung kekalahan di tangan Warga Kota

 

 

Bagaimanapun, musim yang kurang menggembirakan juga buat pemain berusia 29 tahun itu apabila Adam diuji dengan masalah tunggakan gaji dek Sri Pahang dilaporkan menghadapi masalah kewangan.

Lebih mengecewakan apabila sehingga kini, pihak pengurusan skuad Tok Gajah seolah-olah masih berdiam diri mengenai isu tunggakan gaji yang telah menimpa kelab tersebut sejak awal musim lepas.

Oleh itu, ramai penyokong beranggapan masalah berkenaan membuatkan pemain penting seperti Adam seolah-olah memberi bayangan mahu meninggalkan Tok Gajah dan menyertai pasukan yang lebih stabil tetapi tetap menjanjikan minit permainan.

Adam ketika menyarung jersi Gergasi Merah.

Spekulasi Adam mahu mencari kelab baharu semakin hangat diperkatakan selepas bekas pemain kebangsaan itu memuat naik foto kenangannya menyarung jersi Selangor di Insta Story miliknya pada baru-baru ini.

"Once upon a time (suatu ketika dahulu)," tulisnya ringkas pada foto yang menunjukkan Selangor sedang menentang Harimau Selatan.

Tidak pasti jika ia merujuk kepada keinginannya untuk kembali kepada bekas majikannya atau hanya foto kenangan namun pasti penyokong Gergasi Merah juga merindui pemain yang pernah menyarung jersi Gergasi Merah selama dua musim itu.

Semasa bersama Selangor, Adam menunjukkan prestasi yang memberangsangkan. Dia menjaringkan gol kemenangan dalam perlawanan pembukaan kempen Piala Malaysia 2016 menentang Kelantan, yang berakhir dengan kemenangan 1-0 untuk Selangor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram