
JOHOR Darul Ta'zim (JDT) berpeluang melakar sejarah baharu di peringkat tertinggi Asia apabila memiliki kelebihan untuk melangkah ke suku akhir Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) musim ini sekali gus muncul sebagai lapan kelab terbaik di benua ini.
Keputusan itu semakin meyakinkan, terutamanya kerana pasukan Harimau Selatan bakal beraksi di gelanggang keramat mereka yang terkenal dengan rekod cemerlang.
Stadium Sultan Ibrahim, Johor telah menjadi lambang kebanggaan JDT patut diakui sebagai gelanggang yang sangat sukar ditembusi oleh lawan.
BACA LAGI: Tak tercalon TOTW ke-8, JDT tetap boleh berbangga 'selevel' jaguh Jepun
BACA LAGI: 'Kononnya Buriram United kacau gameplay', isu padang punca JDT pulang tangan kosong
Umum mengetahui JDT belum pernah mencatatkan kekalahan di tempat sendiri, baik dalam saingan domestik mahupun peringkat Asia.
Berdasarkan prestasi semasa dan kekuatan skuad, JDT dilihat sebagai pasukan pilihan utama untuk meraih tiga mata berharga dalam pertemuan ini.
Dengan barisan pemain yang penuh pengalaman dan kepakaran dalam saingan antarabangsa, mereka dijangka mampu menundukkan Buriram United, yang juga merupakan sebuah pasukan yang tidak kurang hebatnya.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga kelebihan Harimau Selatan yang pastinya mampu menutup perjuangan Thunder Castle dalam saingan ACLE.
1. Rekod ACL Elite
Rekod cemerlang JDT dalam saingan ACLE telah membuka mata banyak kelab besar di Asia bahawa Harimau Selatan bukan sahaja mampu bersaing, tetapi juga berpotensi untuk menyaingi jaguh-jaguh kelab Asia.
JDT mencatatkan rekod yang cukup cemerlang dalam saingan ACLE apabila mampu bersaing sebaris dengan jaguh wakil kelab Jepun, Yokohama FM, Kawasaki Frontale dan Vissel Kobe dalam Kumpulan A.
Kejayaan JDT di ACL Elite turut didorong oleh gabungan pemain tempatan dan antarabangsa berkualiti tinggi seperti Arif Aiman Hanapi, Juan Muniz dan Bergson da Silva yang membawa pengalaman antarabangsa.
Buriram United dijangka menjadi pasukan belasahan JDT di SSI. — Facebook/JOHORSoutherntigers
Berdasarkan keputusan ACLE di peringkat kumpulan Zon Timur sebelum ini, JDT menang kesemua empat aksi di SSI dengan menundukkan dua kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai menerusi keputusan 3-0 dan Pohang Steelers 5-2.
Jaguh kelab China juga turut terciduk di SSI apabila Shanghai Shenhua tumbang 0-3 sebelum seri tanpa jaringan dengan Buriram United yang diwarnai isu layangan kad merah terhadap pemain JDT, Murilo dan tonggak tengah lawan, Theerathon Bunmathan.
Rekod itu menunjukkan bahawa skuad Harimau Selatan sangat dominan di halaman sendiri.
2. Sejarah lampau berdepan kelab Thailand
Skuad kendalian Hector Bidoglio itu memiliki rekod baik ketika bertemu dengan kelab Thailand di Asia.
Untuk rekod, tiga kelab yang menjadi mangsa JDT ialah BG Pathum United, Ratchaburi Mitr Phol (ACL 2021) dan Bangkok United (ACL 2017). BG Pathum tewas dua kali di tangan Harimau Selatan dalam saingan peringkat kumpulan ACL 2023/24.
JDT, Buriram sama liat dengan menyaksikan kedua-dua pasukan buntu dalam mencari jaringan. — Facebook/JOHORSoutherntigers
Satu-satunya pasukan Thailand yang berjaya menewaskan JDT ialah Muangthong United dan pencapaian itu dilakar dua kali pada 2016 dan 2018.
Melihat kepada rekod tersebut, Buriram United dijangka bakal menghadapi nasib yang sama, dengan Harimau Selatan berpotensi menewaskan mereka di SSI.
3. Sorakan penyokong 'full house'
Keputusan seri tanpa jaringan ketika menentang jaguh Thailand, Buriram United di tempat lawan Selasa minggu lalu bakal memberi kelebihan buat skuad Harimau Selatan apabila turun beraksi di depan ribuan penyokong sendiri di SSI Selasa depan (11 Mac).
JDT yang mencatatkan rekod bersih di gelanggang sendiri itu dijangka tidak berdepan cabaran besar dalam memastikan kemenangan milik mereka.
Sokongan peminat yang padu adalah faktor motivasi utama bagi JDT kerana penyokong setia mereka sentiasa memberikan sokongan tanpa henti sama ada di dalam atau luar stadium.
Sokongan daripada BOS pastinya mampu membantu membakar semangat JDT meraih kemenangan di laman sendiri. — Facebook/JOHORSoutherntigers
Dengan sokongan yang kuat daripada Boys Of Straits (BOS), JDT pastinya mampu memberikan yang terbaik menjelag perlawanan mendebarkan itu.
Untuk rekod, JDT mencatatkan kehadiran tertinggi penyokong dalam saingan ACL ketika bertemu Pohang Steelers, dengan 34,590 penyokong hadir.
Tidak mustahil Stadium Sultan Ibrahim akan dibanjiri ribuan penyokong tempatan yang memberi sokongan penuh kepada wakil Malaysia tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram