
KEMENTERIAN Luar menasihatkan rakyat Malaysia yang berada atau merancang untuk ke wilayah Yala, Narathiwat dan Pattani di Thailand agar sentiasa berwaspada dan mengambil langkah berjaga-jaga susulan beberapa insiden keselamatan yang berlaku baru-baru ini.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar memaklumkan bahawa pihaknya, melalui Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla, sedang memantau rapat situasi di ketiga-tiga wilayah tersebut.
"Berikutan perkembangan terbaru, rakyat Malaysia yang berada atau akan ke wilayah-wilayah berkenaan dinasihatkan untuk berhati-hati dan sentiasa berwaspada.
BACA LAGI: Remaja maut tercampak dilanggar kereta dipandu warga asing di Johor Bahru
BACA LAGI: Luqman Hakim pilih pulang ke Malaysia, ini 4 wonderkid hilang dari radar Liga M
“Kementerian juga menasihatkan supaya semua perjalanan yang tidak penting ke kawasan tersebut ditangguhkan buat masa ini,” menurut kenyataan itu.
Sebagai langkah keselamatan, rakyat Malaysia di wilayah tersebut digalakkan untuk mendaftarkan keberadaan mereka dengan Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Dalam kes kecemasan, mereka boleh menghubungi Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla.
“Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” tambah kenyataan itu.
Konsulat Jeneral Malaysia di Songkhla boleh dihubungi di alamat: No. 4, Sukhum Road, Muang District, Songkhla Province, Thailand atau melalui talian +6674 311 062 / +6674 316 274 dan +6693 657 0707 (kecemasan sahaja). Sebarang pertanyaan juga boleh dihantar melalui e-mel ke [email protected]. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram