
SEORANG penunggang motosikal berusia 20 tahun maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah kereta dan motosikal di KM11.5 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi berhampiran Smart Pandan, Johor pada Ahad (9 Mac).
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian berlaku pada pukul 2.31 pagi apabila sebuah kereta yang dipandu oleh seorang warga asing berusia 27 tahun dalam perjalanan dari Pasar Borong Pandan menuju ke Taman Johor Jaya.
"Sewaktu kereta itu menukar laluan dari lorong kanan ke lorong kiri untuk membelok ke kiri, ia bertembung dengan sebuah motosikal yang berada di lorong paling kiri," katanya dalam satu kenyataan.
BACA LAGI: Luqman Hakim pilih pulang ke Malaysia, ini 4 wonderkid hilang dari radar Liga M
BACA LAGI: Perlu beri ruang bintang lebih berkualiti ke Asia, Selangor wajar pertimbang singkir 4 'deadwood'
Akibat perlanggaran tersebut, penunggang motosikal tercampak dan terjatuh berhampiran longkang di tepi jalan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Pemandu warga asing tersebut telah ditahan untuk siasatan lanjut dan semakan latar belakang mendapati suspek tidak mempunyai rekod jenayah atau berkaitan dadah.
Ujian turut mengesahkan suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah atau alkohol semasa kemalangan berlaku.
Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram