Jaringan roket Fadzrul Danial gagal sekat KL City bawa pulang 3 mata


  • Podium
  • Sabtu, 08 Mac 2025

Antara aksi perlawanan antara Kedah dan KL City pada Jumaat. — MFL

PERLAWANAN Liga Super ke-21 diteruskan dengan aksi antara Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Kuala Lumpur City FC (KL City) di Stadium Darul Aman yang menyaksikan kedua-dua pasukan mahu menamatkan liga di kelompok lima terbaik.

Walaupun Kedah turun dengan serba kekurangan, ia tidak menghalang Sang Kenari untuk mendahului menerusi penyerang import, Milos Gordic pada minit ke-25 permainan.

Pengendali Kedah, Victor Andrag memanfaatkan kesetiaan Ebenezer Assifuah dan Gordic untuk memberikan talian hayat buat Sang Kenari mengutip tiga mata di halaman sendiri.

BACA LAGI: Neymar kembali lepas 2 tahun tersisih, bintang buangan Man United terus dilupakan Brazil

BACA LAGI: 'Terbang Murrilo kena 'body' Dion Cools', fans kagum lihat pengalaman kapten Harimau Malaya kekang import JDT

Pada separuh masa pertama, KL City lebih banyak mendominasi permainan namun begitu sukar untuk mereka memecahkan benteng pertahanan Kedah yang rata-ratanya dibarisi pemain muda.

Melihat jaringan awal Gordic, penyokong Kedah terkejut dengan prestasinya sebelum tidak dapat meneruskan permainan sehingga minit ke-40 akibat kecederaan.

"Milos (Gordic) menjadi pula bulan puasa ini, mantap!" kata Yusri Arab.

"Bulan-bulan puasa ini berfungsi pula dia (Gordic)," ujar Anis Ariffin.

"Bulan puasa ini Milos pun orang suka," komen Aizuddin Ismail.

Manakala, Fayadh Zulkifli pula dikritik oleh penyokong Kedah kerana tidak beraksi baik pada babak separuh masa pertama.

Namun begitu, kegembiraan penyokong Kedah terhenti pada minit ke-45 selepas penjaring terbanyak zaman KL City, Paulo Josue menjaringkan gol penyamaan sebelum pengadil meniupkan wisel tamat separuh masa pertama.

Keputusan kekal 1-1 pada separuh masa pertama hasil jaringan Gordic dan Josue.

Bersambung babak kedua perlawanan, KL City terus bermula garang apabila menyerang kubu pertahanan Kedah sehingga Paulo Josue berjaya meledak menerusi rembatan luar kotak pada minit ke-62.

Namun KL City tidak gembira lama apabila Fadzrul Danel membalas kembali jaringan Josue dengan rembatan deras luar kotak penalti pada minit ke-64 untuk menyamakan kedudukan Kedah.

Lima minit sebelum tamat perlawanan, Sean Gan Giannelli memastikan KL City membawa pulang tiga mata apabila mudah menewaskan Ifwat Akmal.

Perlawanan tamat dengan keputusan 2-3 yang mana Kedah meneruskan kekalahan kedua mereka sekali gus gagal membawa sebarang mata.

Dalam ruangan komen, rata-rata penyokong Kedah mengkritik aksi penjaga gol, Ifwat Akmal selepas gagal menangkap gol-gol yang dijaringkan oleh KL City.

"Ifwat dah tak relevan, sekejap baik, sekejap entah apa-apa," kata Michelle Sephia.

"Penjaga gol itu bagi orang lainlah, selalu tangkap angin sahaja," ujar Rijal Shukor.

"Ifwat tangkap bola kemana? Rabun jauh ke?" soal Edy Boss.

Selepas ini Kedah akan bertemu Kuching City di halaman lawan pada 12 Mac manakala KL City pula bakal berdepan cabaran Perak FC pada 6 April nanti. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram