
JOHOR DARUL TA'ZIM (JDT) gagal membawa bekalan selesa bagi perlawanan kedua pusingan ke-16 Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) beraksi di halaman sendiri pada 11 Mac nanti.
Mempertaruhkan Bergson da Silva sebagai penyerang tunggal, perancangan itu tampak tidak menjadi apabila JDT hanya berjaya melakukan empat 'shots' dan satu 'shots on target' sepanjang 90 minit permainan.
Kemasukan pemain import baharu, Samu Castillejo juga tidak memberikan sebarang impak selepas diberi peluang beraksi selama 45 minit.
BACA LAGI: Bina reputasi di Liga M, sayangnya 3 import sensasi dilarang sarung jersi Harimau Malaya
BACA LAGI: [VIDEO] 'Mana bagus layak diserap', Mintah beri Cklamovski pilihan variasi, cabar bintang tempatan
Dengan JDT bakal melayani kunjungan Buriram United di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada Selasa depan, sekali gus memberi ruang buat Harimau Selatan memperbaiki barisan serangan.
Pihak pengurusan JDT dilihat gemar merekrut bintang berstatus ejen bebas sekali gus menjimatkan kos pembelian untuk memperkuatkan Harimau Selatan.
Dengan itu, Majoriti senaraikan tiga nama ejen bebas yang mempunyai reputasi besar di Eropah tanpa kelab sehingga kini:
1. Karim Ansarifard
Bekas penyerang skuad kebangsaan Iran, Karim Ansarifard mungkin solusi jangka pendek buat JDT untuk memperkuatkan barisan serangan mereka bagi saingan ACLE.
Pemain berusia 35 tahun itu mempunyai pengalaman luas di pentas Eropah dengan Liga Greece menjadi taman permainannya untuk merobek gawang gol lawan.
Karim juga mempunyai pengalaman beraksi di Liga Eropah (UEL), Liga Juara-Juara Eropah (UCL) dan Liga Juara-Juara Asia (ACL) sekali gus memberikan kelebihan buat JDT untuk bertemu Buriram United.
Dalam 506 perlawanan, Karim telah meledak 160 jaringan dan 45 'assist' dengan 11 kelab pernah mendapatkan khidmatnya.
Antara kelab yang pernah mendapatkan khidmat bekas penyerang Iran itu ialah Persepolis FC (Iran), CA Osasuna (Sepanyol), Olympiacos, AEK Athens (Greece) dan Nottingham Forest (England).
2. Mariano Diaz
Bekas bintang Real Madrid, Mariano Diaz masih bergelar ejen bebas selepas tiada pasukan menunjukkan minat terhadapnya meskipun mempunyai reputasi besar di Eropah.
Selain Real Madrid, Diaz pernah beraksi untuk Olympique Lyon (Perancis) dan Sevilla (Sepanyol).
Pemain berusia 31 tahun itu hanya merekodkan 13 penampilan dalam semua kejohanan untuk Sevilla sebelum dilepaskan pada akhir musim 2023/24.
Sebelum ini mengikut laporan media antarabangsa, Diaz menerima tawaran daripada beberapa kelab dari Sepanyol, Portugal, Turkiye dan Asia.
Bagaimanapun, semua tawaran tersebut ditolak atas alasan penyerang berusia 31 tahun itu mahukan sesuatu yang lebih.
Walau apa pun pilihan yang dibuat Diaz, dia harus bertindak segera ini kerana nilainya semakin merudum di pasaran perpindahan.
Mengikut maklumat terkini Transfermarkt, Diaz kini bernilai €1.2 juta (RM5.6 juta) berbanding €22 juta (RM104 juta) pada 2018.
Adakah ini peluang JDT untuk menarik minat Diaz beraksi dalam Liga Malaysia kerana dia juga merupakan rakan sepasukan Jese Rodriguez semasa mereka mewakili Real Madrid sebelum kedua-duanya membuat keputusan membawa haluan masing-masing.
3. Santi Mina
Pernah dilabel antara pemain muda terbaik dunia, Santi Mina boleh menjadi calon pelan jangka panjang buat JDT dengan umurnya yang baru mencecah 30 tahun.
Mina mempunyai pengalaman beraksi di La Liga dengan Valencia CF dan Celta de Vigo pernah mendapatkan sentuhannya sebelum dilepaskan pada 2023.
Selain itu, bekas pemain skuad muda Sepanyol tersebut turut pernah berkelana di Asia dengan menyertai kelab Arab Saudi, Al-Shabab pada 2022 secara pinjaman dari Celta de Vigo.
Ketika di Al-Shabab, Mina tampil beraksi dalam 29 perlawanan dan menjaringkan enam gol serta lima 'assist' di semua kejohanan termasuk ACL. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram