
KANCAH bola sepak tempatan dikejutkan dengan berita pemergian bekas pemain import Kelantan FA (kini dikenali TRW Kelantan), Cassio de Jesus selepas menghidapi penyakit unik iaitu anemia aplastik pada Rabu (5 Mac).
Pemain berusia 36 tahun itu disahkan meninggal dunia menerusi akaun Instagram peribadinya yang mana punca kematian Cassio disahkan menerusi penyakit anemia aplastik yang dihidapinya sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Anemia aplastik merupakan keadaan perubatan yang jarang berlaku yang mana sumsum tulang berhenti menghasilkan sel darah baharu yang mencukupi.
BACA LAGI: Bina reputasi di Liga M, sayangnya 3 import sensasi dilarang sarung jersi Harimau Malaya
BACA LAGI: Impian jadi realiti, kini Ampang CF platform permata Ampang pamer bakat terpendam
Akibatnya, pengeluaran platelet terganggu, menjadikan keadaan Cassio semakin merosot.
Cassio pernah memerlukan sumbangan darah daripada golongan darah O negatif.
Keperluan itu menjadi semakin mendesak seiring dengan kemerosotan kesihatannya yang semakin kritikal.
Pemain kelahiran Brazil itu pertama kali mengetahui bahawa dia menghidap penyakit tersebut ketika beraksi bersama kelab Thailand, Royal Thai Navy pada 2024.
Malangnya, kelab tersebut tidak memberikan sokongan perubatan yang mencukupi buat Cassio.
Menurut laporan media, disebabkan kurangnya perhatian dan bantuan daripada kelab, Cassio terpaksa berhutang dengan sebuah hospital di Thailand tempat dia menjalani rawatan.
Situasi itu memburukkan lagi keadaan mental dan fizikalnya.
Selepas berjuang melawan penyakitnya di Thailand, Cassio akhirnya dibenarkan pulang ke Brazil.
Di Brazil, dia meneruskan rawatan perubatan dengan harapan dapat sembuh daripada penyakit tersebut.
Pihak keluarga Cassio kemudian meminta bantuan dana melalui media sosial untuk menampung kos rawatannya yang semakin meningkat.
Permohonan bantuan itu mendapat sambutan positif daripada pelbagai pihak.
Ramai yang tergerak hati untuk memberikan sumbangan bagi meringankan beban kewangan Cassio dan keluarganya.
Berkat bantuan tersebut, Cassio dapat meneruskan rawatan dengan kemudahan yang lebih baik.
Cassio sempat mengungkapkan terima kasihnya kepada semua pihak yang telah membantunya.
Namun, meskipun telah berjuang sekuat tenaga, Cassio akhirnya tewas melawan penyakit yang menyerang tubuhnya.
Pemergian Cassio mengundang ucapan takziah daripada pelbagai pihak, termasuk bekas kelabnya di Indonesia.
Barito Putera, salah satu kelab yang pernah mendapatkan khidmatnya, menyampaikan rasa dukacita yang mendalam.
"Keluarga Besar PS Barito Putera turut berduka cita atas pemergian salah seorang pertahanan terbaik Laskar Antasari, Cassio Francisco de Jesus," tulis akaun rasmi Barito Putera.
PS Barito Putera tersebut turut mengenang jasa Cassio sepanjang dia membela panji Laskar Antasari.
Kerjaya Cassio di Indonesia bermula apabila dia menyertai Semen Padang pada musim 2016/17.
Bersama Semen Padang, Cassio menunjukkan prestasi yang mengagumkan sehingga dikenali dalam kalangan peminat bola sepak di Indonesia.
Selepas dua musim bersama Semen Padang, Cassio berhijrah ke Malaysia untuk menyertai Kelantan FA pada musim 2018/19.
Meskipun hanya semusim di Malaysia, Cassio tetap menunjukkan prestasi yang konsisten. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram