Hilang 2 tonggak tengah, Amorim mungkin terpaksa tagih kudrat kuda tua hadapi Real Sociedad


  • Podium
  • Khamis, 06 Mac 2025

Khidmat Casemiro akan digunakan dalam aksi pertama menentang Real Sociedad pada Jumaat. — Agensi

MANCHESTER United akan meneruskan kempen Liga Europa mereka pada Jumaat apabila berdepan kelab La Liga, Real Sociedad dalam perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada pukul 1:45 pagi waktu tempatan di Reale Arena, Gipuzkoa, Sepanyol.

Skuad kendalian Ruben Amorim kini berdepan tekanan untuk mencapai kejayaan dalam kejohanan Liga Europa, setelah prestasi mereka dalam pertandingan domestik tidak memberangsangkan.

United telah tersingkir daripada kedua-dua kejohanan piala domestik dan kini berada di kedudukan bawah dalam carta Liga Perdana Inggeris (EPL) iaitu di kedudukan ke-14 liga.

BACA LAGI: Makin pelik-pelik, Man United cadang tutup 'office', langkah jimatkan kos

BACA LAGI: Target juara EPL, legenda Man United kecam angan-angan Ruben Amorim

Oleh itu, Liga Europa menjadi keutamaan utama mereka dalam usaha untuk memastikan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah (UCL) pada musim depan.

Namun, cabaran besar menanti Amorim dengan skuad yang pincang akibat kecederaan serta peraturan pendaftaran pemain. Dua tonggak utama, Harry Maguire dan Manuel Ugarte, terpaksa diketepikan, menyebabkan United berdepan krisis dalam membentuk pasukan terbaik.

Selain itu, beberapa pemain utama lain seperti Altay Bayindir, Luke Shaw, Mason Mount, dan Chido Obi juga tidak dapat diturunkan, menjadikan pilihan pemain semakin terhad.

Dalam perkembangan positif, pemain muda akademi, Toby Collyer yang telah dimasukkan dalam skuad 18 pemain dan berpotensi untuk kembali beraksi untuk skuad The Red Devils.

Sementara itu, menjelang perlawanan penting ini, beberapa pemain telah memuat naik grafik pra-perlawanan di Instagram Story peribadi mereka, yang secara tradisinya menandakan kemungkinan besar mereka akan diturunkan dalam perlawanan ini.

Ugarte terlepas aksi menentang Real Sociedad. — Agensi

Antara pemain yang dijangka bakal mengisi kesebelasan utama ialah pemain antarabangsa Brazil berusia 33 tahun yang memiliki 75 kaps, Casemiro.

Walaupun kurang mendapat minit permainan dalam beberapa perlawanan sebelum ini, Casemiro dijangka mengisi posisi tengah pasukan, terutama dengan ketiadaan Ugarte dan Mainoo.

Pemain berusia 33 tahun itu sebelum ini telah beraksi dalam kekalahan Piala FA kepada Fulham serta dua perlawanan Liga Perdana menentang Tottenham dan Everton.

Bek sayap, Diogo Dalot, turut memberi petunjuk mengenai penglibatannya dalam perlawanan ini dengan memuat naik grafik pra-perlawanan di media sosialnya.

Dalot antara pemain penting Man United musim ini. — Agensi

Pemain antarabangsa Portugal itu hanya terlepas satu perlawanan sepanjang musim ini, iaitu ketika United mencatat kemenangan 3-1 ke atas Southampton.

Dalot juga telah menjadi pemain penting dalam formasi 3-4-2-1 yang menjadi sistem pilihan Amorim sejak beliau dilantik sebagai pengendali pasukan.

Dengan skuad yang terhad dan tekanan yang semakin meningkat, Manchester United perlu memberikan aksi terbaik mereka dalam usaha memastikan kemenangan ke atas Real Sociedad serta terus melangkah lebih jauh dalam saingan Liga Europa. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram