'Import pasukan luar atau tidak, hilang seri Liga Super jika KDN FC dan Sri Pahang benar-benar tarik diri'


  • Podium
  • Khamis, 06 Mac 2025

Sri Pahang dan KDN FC tidak menghantar pasukan Belia beraksi pada musim depan.

TIDAK mustahil, kemeriahan Liga Super musim depan dijangka merosot akibat masalah kewangan yang dihadapi oleh beberapa kelab, termasuk Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) dan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) yang terpaksa berdepan tunggakan gaji pemain.

Keadaan itu menyebabkan ramai pemain memboikot perlawanan, memberi petanda bahawa ada pasukan yang mungkin menarik diri daripada liga musim depan.

Terbaharu, senarai pasukan yang akan bertanding dalam Piala Belia 2025 tidak termasuk Sri Pahang FC dan KDN FC, menguatkan lagi spekulasi bahawa kedua-dua pasukan tersebut mungkin menarik diri daripada saingan Liga Super.

BACA LAGI: Tak tercalon TOTW ke-8, JDT tetap boleh berbangga 'selevel' jaguh Jepun

BACA LAGI: 'Kononnya Buriram United kacau gameplay', isu padang punca JDT pulang tangan kosong

Hal ini kerana, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebelum ini menetapkan syarat bahawa setiap kelab Liga Super perlu menghantar pasukan ke Piala Presiden dan Piala Belia, namun pengurusan kewangan yang lemah mungkin menghalang kelab-kelab tersebut daripada memenuhi syarat tersebut.

Mengulas lanjut mengenai isu yang tular baru-baru ini, pemerhati sukan tanah air, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim menyatakan kebimbangannya bahawa kemeriahan Liga Super musim depan mungkin terjejas.

Senarai nama pasukan Piala Belia yang akan bertanding musim depan.

"Sama ada MFL nak import pasukan luar atau tidak, saya tidak pasti tapi jika KDN FC dan Sri Pahang benar-benar tarik diri, memang betul-betul menjejaskan kemeriahan pasukan-pasukan yang ada yang kekal bertanding dalam liga kita.

"Kemeriahan itu akan hilang. Serinya tidak ada lagi kerana kita pun tahu Kelantan mempunyai ciri-ciri pemain yang berbeza dengan negeri-negeri lain eh. Pemain mereka ganas, pantas dan memiliki semangat juang tinggi.

"Kelebihan Kelantan tidak ada pada pasukan-pasukan lain. Jadi kalau Kelantan tak ada dalam Liga Super, ciri-ciri bola sepak yang ada di Kelantan tu dah tak ada orang lain amalkan.

"Begitu juga dengan Pahang. Kalau Pahang pun tak ada, jadi masalah. Pemain-pemain yang begitu berkemahiran tinggi yang pernah dihasilkan oleh Pahang macam Azizul Kamaluddin dan Mubin Mokhtar akan menghilangkan seri liga kita," katanya kepada Majoriti.

Di samping itu, isu kewangan yang melanda beberapa kelab Liga Super menimbulkan persoalan mengenai kemampuan mereka untuk mengendalikan skuad muda jika skuad utama sendiri menghadapi masalah dana.

Pemerhati sukan tanah air, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.

Bercakap mengenai perkara itu, Zulakbal berkata, adalah wajar untuk kelab Liga Super menanggung kos pengurusan skuad muda.

"Pendapat saya memang releven kelab Liga Super tanggung pasukan belia kerana setiap kelab ada pembangunan masing-masing.

"Peralihan status kelab bola sepak dari Persatuan Bola Sepak (FA) ke Kelab Bola Sepak (FC) telah menimbulkan cabaran kewangan, terutamanya dalam menanggung pasukan belia.

"Oleh itu, adalah wajar jika kelab berunding dengan kerajaan negeri untuk bersama-sama menaja dan membangunkan pasukan belia, selaras dengan tanggungjawab kerajaan dalam pembangunan modal insan di peringkat akar umbi dan remaja.

"Pendekatan ini dapat membantu meringankan beban kewangan kelab dan memastikan kesinambungan pembangunan bakat muda dalam bola sepak tempatan," ujarnya.

Begitupun, Zulakbal berharap agar pengurusan kelab tidak bergantung sepenuhnya kepada bantuan kerajaan negeri.

"Namun begitu, kelab tidak boleh lepas tanggungjawab sepenuhnya kepada kerajaan negeri dan perlu berganding bahu untuk mendidik, melatih pegawai-pegawai dalam kelab untuk mencari dana, mencari penajaan, menguruskan perniagaan supaya satu hari nanti FC benar-benar berkeupayaan dan berdaya saing.

"Tak perlu lagi meminta pertolongan tiap-tiap tahun kepada kerajaan negeri. Langkah ini hanya sementara dan FC sendiri perlu bijak berbelanja, bijak mencari dana seperti mana pasukan-pasukan yang hebat di Eropah," tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram