Kongsi visi kesaksamaan gender, MSIG dan AFF jalin kerjasama tingkatkan bola sepak wanita di rantau Asean


  • Podium
  • Rabu, 05 Mac 2025

The Asean MSIG Serenity Cup bakal mengangkat bola sepak wanita di Asia Tenggara. — AFF

SAINGAN Kejohanan Bola Sepak Wanita Asean kini mempunyai penaja baharu dengan pertandingan itu kini dikenali sebagai The Asean MSIG Serenity Cup.

Ia terhasil selepas Persekutuan Bola Sepak Asean (AFF) melakukan kerjasama dengan MSIG, sebuah syarikat insurans di Asia Tenggara sebagai penaja kejuaraan (title sponsor) pertama bagi pertandingan tersebut.

The Asean MSIG Serenity Cup menjadi kejuaraan ketiga anjuran AFF yang mempunyai penaja kejuaraan selain Asean Mitsubishi Electric Cup (pertandingan bola sepak lelaki senior) dan Piala Shopee yang merupakan kejohanan kelab-kelab Asia Tenggara.

BACA LAGI: Pujaan JDT, kesayangan Selangor tinggalkan legasi berkekalan pemain Asean di Liga M

BACA LAGI: Pemain Malaysia terus dipandang sepi, 5 bintang Asean jadi rekrut baharu kelab Thailand

Trofi baharu bagi The Asean MSIG Serenity Cup dilancarkan di Singapura. — AFF

Kejohanan tersebut sudah dianjurkan oleh AFF bermula 2004, dengan populariti bola sepak wanita semakin meningkat di rantau ini dan perkembangan ini menguatkan MSIG untuk membantu menaikkan popularitinya.

Tujuh pasukan Asean termasuk juara bertahan Filipina, empat kali juara Thailand, tiga kali pemenang Vietnam dan Kemboja, Indonesia, Myanmar, Singapura dan wakil separuh akhir Piala Dunia Wanita FIFA 2023 yang juga merupakan ahli AFF, Australia akan bertanding dalam kejohanan tersebut yang turut memperkenalkan trofi baharu pada Rabu di Singapura.

Presiden AFF, Khiev Sameth berkata, kerjasama antara mereka dengan MSIG membantu untuk mempromosikan kesaksamaan gender menerusi bola sepak.

"Ia turut menandakan era transformasi kepada bola sepak wanita di rantau ini. Fokus yang teguh kepada MSIG Serenity Cup akan menguatkan pemain-pemain dan skuad kebangsaan wanita Asean untuk mencapai cita-cita yang akan memberi inspirasi kepada generasi semasa dan masa depan pemain bola sepak wanita," ujarnya.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), MSIG Asia, Clemens Philippi berkata, kerjasama itu melambangkan semangat bola sepak untuk memberikan inspirasi dan menyatukan dan menunjukkan komitmen entiti itu untuk kesaksamaan gender.

"Bola sepak merangkumi nilai yang kita pegang — kerja berpasukan,semangat, permainan adil dan daya tahan. Di MSIG, 64 peratus kaki tangan adalah wanita dengan 57 peratus berada di peringkat pertengahan dan senior dalam pengurusan syarikat dan itu adalah tinggi daripada jumlah kebiasaan.

"Menerusi kerjasama ini, kami meraikan semangat bola sepak dan memperkasa komuniti di seluruh Asean untuk bercita-cita besar, mencapai sasaran mereka dan berada di tingkat lebih tinggi. Misi kami menerusi kerjasama ini adalah jelas, menaikkan bola sepak wanita di rantau ini," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram