
PENGENDALI Liverpool, Arne Slot, mengesahkan bahawa pasukannya perlu menilai ketersediaan Cody Gakpo bagi perlawanan Liga Juara-Juara menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada Khamis.
Pemain antarabangsa Belanda berkenaan termasuk dalam skuad 24 pemain The Reds yang berlepas ke ibu negara Perancis untuk perlawanan pertama pusingan 16 terakhir di Parc des Princes, Paris.
Namun, kecederaan kecil yang dialaminya ketika sesi latihan menyebabkan pihak kejurulatihan perlu melakukan pemeriksaan lanjut sebelum membuat keputusan sama ada Gakpo boleh diturunkan di Parc des Princes.
BACA LAGI: Mimpi buruk melanda, Liverpool boleh hilang hingga 7 pemain aksi menentang PSG
Dalam sidang media pra-perlawanan pada Selasa malam, pengendali dari Belanda tersebut menjelaskan situasi semasa pemain yang beraksi di posisi penyerang sayap kiri berkenaan.
“Dia hampir bersedia untuk bermain semula, tetapi malangnya dia terpaksa menahan satu sepakan ketika aksi baru-baru ini dan kembali berasa sakit.
“Kami membawanya bersama untuk menilai keadaannya semula, sama ada dia boleh menjadi sebahagian daripada skuad atau tidak. Tetapi ia adalah keputusan yang sukar," kata Slot dalam sidang media itu.
Selain Gakpo, Liverpool turut kehilangan tiga pemain utama iaitu Conor Bradley, Joe Gomez dan Tyler Morton akibat kecederaan.
Sementara itu, lima pemain The Reds berdepan risiko digantung perlawanan timbal balik sekiranya mereka menerima kad kuning dalam perlawanan ini. Pemain tersebut ialah Harvey Elliott, Ibrahima Konate, Alexis Mac Allister dan Andy Robertson.
Bradley (bawah) sudah bergelut dengan kecederaan sejak Januari lalu. — Agensi
Selain lima pemain Liverpool itu, Fabian Ruiz yang beraksi sebagai pemain tengah PSG turut berada dalam situasi yang sama.
Sementara itu, jurulatih PSG, Luis Enrique, melaporkan bahawa pasukannya berada dalam keadaan terbaik menjelang sepak mula pada pukul 4 pagi (waktu Malaysia). Dia mengesahkan tiada pemainnya yang mengalami kecederaan, dengan semua pemain bersedia untuk diturunkan.
“Seperti yang kita dapat lihat dalam latihan, semua orang bersedia. Tiada sesiapa yang cedera atau mengalami sebarang masalah,” kata Enrique dalam sidang medianya.
Jurulatih dari Sepanyol itu turut menekankan bahawa PSG akan mengekalkan gaya permainan mereka seperti biasa.
PSG memiliki lambakan pemain berkualiti dalam pasukan mereka musim ini. — Agensi
“Kami perlu bermain dengan cara yang sama seperti yang kami lakukan sejak awal musim. Kami benar-benar perlu cuba menguasai bola lebih banyak berbanding Liverpool, mencipta lebih banyak peluang daripada mereka, dan bertahan dengan berkesan.
“Kami sedar bahawa kami akan berdepan pasukan yang paling konsisten setakat musim ini, tetapi pelan permainan kami tidak akan berubah,” tambahnya.
PSG juga dijangka dapat menyenaraikan pemain tengah Warren Zaire-Emery dalam kesebelasan utama selepas pemain itu pulih daripada kecederaan buku lali dan tampil sebagai pemain gantian dalam dua perlawanan terakhir.
Perlawanan ini dijangka berlangsung sengit dengan kedua-dua pasukan mempunyai motivasi tinggi untuk mendapatkan keputusan positif dalam pertemuan pertama ini. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram