
WAKIL Malaysia, Johor Darul Ta'zim (JDT) tidak berhasil mendapatkan bekalan selesa daripada perlawanan pertama peringkat 16 Liga Juara-Juara AFC (ACL) Elite 2024/2025 selepas terikat 0-0 dalam aksi menentang Buriram United pada Selasa.
Dalam perlawanan di Chang Arena, Buriram, Thailand itu menyaksikan pasukan kendalian Omar Loss lebih mengusai permainan dengan menunjukkan dominasi dengan 15 percubaan ke arah gawang lawan.
Manakala, Harimau Selatan pula hanya mencatat empat percubaan ke gawang yang dijaga Neil Etheridge dengan JDT mencatatkan 49 peratus penguasaan dan Buriram pula merekodkan 51 peratus penguasaan permainan.
BACA LAGI: 'Kononnya Buriram United kacau gameplay', isu padang punca JDT pulang tangan kosong
Statistik itu menyimpulkan pasukan bimbingan Hector Bidoglio memilih untuk tampil dengan taktikal sedikit bertahan di bumi Buriram.
Tidak kurang juga ada penyokong menuding jari keadaan padang yang kurang memuaskan menyebabkan perlawanan menjadi kurang menarik.
Pengkritik sukan iaitu Sadek Mustafa berpendapat taktikal tersebut diguna pakai untuk mengelak daripada dibolosi.
Beliau menambah, perubahan gaya permainan pasti berubah dalam aksi timbal balik di Iskandar Puteri nanti.
"Ia sebahagian strategi untuk memastikan mereka (JDT) tidak dibolosi, JDT ada strategi untuk mendapatkan gol di Buriram tapi tidak berjaya. Pada permainan timbal balik nanti, permainan sedikit open dan taktikal menyerang akan banyak digunakan.
"Kedua-dua pasukan nak dapatkan gol. Jika Buriram dapat satu gol, JDT kena jaringkan dua gol untuk mara ke pusingan seterusnya. JDT kena mesti menang juga. Kalau seri, Buriram menang sebab ada gol di tempat lawan.
"JDT perlu berhati-hati dan menunjukkan bahawa mereka boleh bermain secara terbuka dengan melakukan banyak serangan dan menjaringkan gol di halaman sendiri nanti," katanya kepada Majoriti.
Bercakap mengenai aksi timbal balik di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada 11 Mac ini, Sadek menjangkakan pemain kebangsaan iaitu Dion Cools boleh menjadi ancaman kepada Harimau Selatan.
Ia kerana Cools mengenali kebanyakan pemain JDT seperti Arif Aiman Hanapi, Matthew Davies dan Corbin Ong susulan mereka bersama-sama mewakili Harimau Malaya di pentas Malaysia.
"Cools boleh jadi ancaman kerana bila ada informer dalam suatu pasukan untuk menyatakan kekuatan dan kelemahan sesuatu pasukan, mereka boleh mencatur strategi.
"Itu memberi kelebihan kepada Cools dan Buriram untuk mengetahui kekuatan dan kelemahan sebahagian besar pemain JDT.
Persembahan memukau Cools bersama Buriram United meraih pujian peminat Harimau Malaya. — Facebook/Buriram United
Sadek berpendapat cabaran atau ancaman JDT dalam aksi itu adalah Cools.
"Selain itu, Cools juga mungkin diletakkan untuk keadaan set pieces atau ada dalam keadaan bola mati, di samping berupaya menyekat kemaraan Arif Aiman," tambahnya.
Untuk rekod, Cools juga merupakan pemain buruan JDT apabila sebelum ini pemilik Harimau Selatan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi bayangan Cools bakal menyarung jersi Harimau Selatan suatu hari nanti.
Dalam satu temu bual bersama Astro Arena pada Oktober 2023, TMJ menjelaskan ketika ini gaji Cools terlalu tinggi dan ia adalah antara sebab kenapa pemain kacukan Belgium itu menyertai kelab Thailand, Buriram United. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram