
KEDAH Darul Aman (KDA) FC yang melakukan inisiatif melantik duta dari kalangan artis dan pempengaruh disambut baik oleh penyokong susulan ia dilihat sebagai satu usaha untuk membuka lebih banyak potensi penaja Sang Kenari.
Sebagaimana diketahui, skuad Sang Kenari dilaporkan mengalami tunggakan gaji mencecah 10 bulan berikutan tidak menemui penaja untuk membaik pulih kewangan mereka yang sudah menjejaskan kelab berkenaan sejak penghujung musim 2023.
Tidak berdiam diri, pihak pengurusan Kedah yang diketuai oleh Tan Sri Mohd Daud Bakar selaku pemilik majoriti KDA FC, mengumumkan kehadiran Black Hanifah atau nama sebenarnya, Hanifah Muhammad Hanafiah sebagai duta.
BACA LAGI: 'Turun ke Liga Perdana beri peluang Kedah sembuh'
BACA LAGI: Menang piala, gaji 'on time' boleh jadi azam Selangor, Kedah pada 2025
Selain Black, dua orang pempengaruh media sosial iaitu CEO Bieziy atau nama sebenarnya Irshad Shafiq serta Iqbal Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai CEO Batu juga dilantik sebagai duta untuk membantu perniagaan kelab itu
Meskipun pelantikan tiga individu berkenaan belum menunjukkan hasil, kehadiran mereka dijangka mampu menarik lebih ramai penyokong untuk hadir ke stadium dan termasuk mempromosikan penjualan kad keahlian The Wing dalam kalangan peminat.
Tidak cukup dengan kehadiran tiga individu itu, seorang lagi figura terkenal tanah air iaitu Mazlan Ahmad atau turut dikenali sebagai Lan Pet Pet berminat untuk menjadi duta KDA FC.
"Kalau diberi peluang dan saya berkesempatan In Shaa ALLAH," katanya ringkas kepada Majoriti.
Siapa yang mengikuti perkembangan Latn Pet Pet pasti mengetahui pelawak kelahiran Alor Setar, Kedah tersebut pernah mengakui bahawa dia menyokong kelab berkenaan sejak zaman persekolahan, iaitu sekitar era 1980-an.
Sokongan itu kelihatan berterusan sehingga hari ini apabila ahli kumpulan Senario itu kelihatan menyarung jersi KDA FC meskipun pasukan tersebut tidak berada dalam prestasi terbaik.
Black (tengah) dilantik sebagai duta pasukan bersama dua lagi pempengaruh media sosial lain. — Facebook/KDA FC
Meskipun tidaklah hadir ke stadium bagi setiap hari perlawanan, Lan Pet Pet masih membuktikan sikap cintanya terhadap skuad Sang Kenari kerana kerap memuat naik hantaran di media sosial dengan berpakaian jersi kelab.
Sikapnya yang peramah dengan penyokong pasti membuatkan pengikut KDA FC bersetuju bahawa dia calon terbaik untuk dilantik sebagai duta kerana peminat akan lebih tertarik untuk menyokong setiap inisiatif kelab. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram