PEMAIN pertahanan sayap Penang FC, Adib Abd Raop akhirnya berjaya menarik perhatian jurulatih bola sepak kebangsaan, Kim Pan-gon untuk beraksi bersama Harimau Malaya bagi pusingan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Kehadiran pertahanan kental Penang itu ke skuad Harimau Malaya memberikan kelegaan buat penyokong tanah air termasuklah bekas pemain negara, Razman Roslan.
Pada Jumaat lalu, Pan-gon mengumumkan senarai 26 pemain yang bakal membawa cabaran Malaysia dalam dua aksi terakhir peringkat kumpulan Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Republik Kyrgyz dan Chinese Taipei.
BACA LAGI: Pan-gon dalam misi cari pengganti Arif Aiman, Faisal Halim
BACA LAGI: Man United tetap 5 syarat polisi pembelian pemain
Adib Raop mendapat panggilan pertama untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan. — Facebook/FAM
Daripada senarai tersebut, salah satu nama yang mencuri tumpuan ramai adalah pertahanan kiri Penang FC, Adib Raop yang mendapat panggilan pertama untuk menyertai kem latihan skuad kebangsaan.
Keterujaan itu turut dikongsikan oleh bekas tonggak utama negara, Razman Roslan yang gembira dan berpuas hati tatkala melihat nama Adib Raop turut tersenarai untuk bersama skuad Harimau Malaya kali ini.
”Dalam banyak-banyak nama dalam senarai panggilan ke kem kebangsaan, memang betul, ada nama Adib Raop ini saya dah puas hati dah,” katanya dalam rancangan Nindia Bola di Astro Arena.
Razman berpendapat bahawa pemain berusia 25 tahun itu memiliki keistimewaan di atas padang terutamanya ketenangannya ketika mengunci pergerakan lawan dalam dua aksi Liga Super bersama Penang FC baru-baru ini.
”Apa yang saya nampak dari perlawanan pertama Penang FC ketika bertemu Sabah FC, saya dapat lihat ada sesuatu pada Adib Raop terutamanya ketika mengawal Saddil Ramdani dengan tenang, saya nampak itu antara kekuatan yang ada pada Penang.
“Ternyata dalam perlawanan kedua menentang Terengganu FC pun, dia mempamerkan persembahan menakjubkan dan dia memang layak untuk berada dalam senarai Harimau Malaya," ujarnya lagi.
Adib dan skuad kebangsaan kini sedang giat menjalani latihan bagi menghadapi aksi seterusnya dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 menentang Kyrgyzstan dan Chinese Taipei awal bulan hadapan.
Pasukan kebangsaan akan terbang ke Bishkek untuk perlawanan kelima kumpulan menentang Kyrgyzstan pada 6 Jun sebelum pulang ke Kuala Lumpur bagi menutup saingan kumpulan berdepan Chinese Taipei pada 11 Jun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram