KECEDERAAN merupakan salah satu faktor yang sedikit menyukarkan Selangor FC untuk menampilkan persembahan lebih konsisten musim ini sehingga terpaksa memberi kepercayaan buat pemain muda.
Pemain seperti Umar Eshmurodov, Safuwan Baharudin serta Noor Al-Rawabdeh merupakan antara tonggak yang beberapa kali disisihkan akibat masalah kecergasan dialami, baik di padang latihan mahupun di atas padang.
Namun, ramai tidak menyedari bahawa import dari Venezuela, Yohandry Orozco turut berdepan kecederaan hamstring yang menyaksikannya bergelut untuk mengulangi impak seperti mana ditonjolkan pada 2023.
BACA LAGI: Padang keras bukan masalah, Orozco harap 2 gol di Filipina hidupkan musim bersama Selangor
BACA LAGI: Orozco boleh jadi masalah kepada Pahang — Sean Selvaraj

Orozco merupakan salah seorang tonggak yang membantu skuad Gergasi Merah menjulang MFL Challenge Cup. — Facebook/Selangor FC
Tetapi, sejak kembali ke tahap kecergasan sebenar, pemain tengah itu berjaya membawa kestabilan dalam skuad Gergasi Merah, termasuk menjadi watak utama dalam kejayaan menjulang MFL Challenge Cup.
Bekas pemain VfL Wolfsburg itu jelas teruja dengan dua jaringan dicetak ketika perlawanan akhir kedua menentang PDRM FC yang menyaksikan Selangor FC menang dengan keputusan 4-0, sekali gus menjadikan agregat 7-0.
"Salah satu gol yang saya jaringkan adalah menerusi tandukan. Itu adalah sesuatu yang janggal kerana saya jarang menggunakan kepala untuk mencetak jaringan.
"Ini adalah momen yang bermakna dan saya akan abadikan sebagai seorang pemain. Saya berasa amat teruja untuk kembali beraksi dan memainkan peranan penting buat pasukan," katanya.

Khidmat Orozco (kanan) amat diperlukan menjelang baki perlawanan Liga Super buat skuad Gergasi Merah. — Facebook/Selangor FC
Kehadirannya bersama skuad Gergasi Merah turut disusuli dalam aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium MBPJ, Selangor pada Khamis lalu yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan.
Meskipun tidak meraih tiga mata penuh, persembahan ditampilkan anak-anak buah Katsuhito Kinoshi cukup memuaskan untuk memastikan kedudukan mereka lebih kukuh di tangga kedua.
Sekiranya kedudukan berkenaan kekal sehingga penghujung musim, kelab Lembah Klang itu dapat melayakkan diri ke Liga Juara-Juara AFC (ACL) Two musim depan selepas hanya menamatkan kempen kali ini di peringkat kumpulan.
"Ia adalah sasaran seterusnya buat kami dan kami sudah memberi tumpuan penuh terhadapnya," kata Orozco lagi.
Musim ini, pemain berusia 33 tahun itu sudah diturunkan sebanyak 30 kali dalam semua pertandingan, termasuk di pentas Asia dengan 10 gol dan 10 bantuan jaringan sudah dicetak.
Sumbangan bermakna tersebut diharapkan dapat diteruskan menjelang aksi ke-21 Liga Super menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Stadium MBPJ, Selangor dengan skuad Gergasi Merah berstatus pasukan pelawat. — The Star/T AVINESHWARAN
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram
