Orozco boleh jadi masalah kepada Pahang — Sean Selvaraj


  • Podium
  • Selasa, 30 Jul 2024

Orozco (kanan) sudah mencetak dua gol dalam lima perlawanan untuk Gergasi Merah setakat ini. — Facebook/SelangorFC

TONGGAK sayap Sri Pahang FC, Sean Selvaraj mengakui kepincangan skuad tanpa kelibat Kpah Sherman namun optimis semangat satu pasukan semakin tinggi untuk cuba meraih tiga mata ke atas Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Temerloh dekat Temerloh, Pahang pada Khamis.

Sherman yang masih dilanda kecederaan nyata merencatkan perancangan pasukan terutamanya di bahagian serangan pasukan, tetapi Sean percaya dia dan rakan sepasukan lain akan berusaha keras untuk memburu jaringan pada esok.

Bahkan, dia yang pernah beraksi bersama Selangor pada musim 2018 hingga 2021 itu mahu mengambil peluang ini untuk cuba menembusi gawang lawan dan enggan membiarkan pasukannya kecundang selepas kali terakhir menang adalah ketika menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC pada 11 Mei lalu.

BACA LAGI: 'K-pop in the house', bintang baru JDT boleh bantu cipta rekod untuk Syihan

BACA LAGI: Prestasi bersama skuad kebangsaan antara sebab JDT mungkin kehilangan Jalil Elias

"Saya rasa pasukan akan tetap cuba untuk mendapatkan tiga mata penuh tetapi kami tahu bukan senang sebab Selangor sekarang sedang dalam momentum yang baik.

"Saya rasa selepas kita seri dengan Kuala Lumpur tempoh hari, sedikit sebanyak motivasi kami semakin tinggi untuk kita cuba lawan Selangor pula pada malam esok.

"Sudah pasti saya pun nak cuba buktikan sesuatu apatah lagi melawan pasukan lama saya dan sekarang apabila Kpah cedera, pemain-pemain lain kena ada sifat untuk ambil peluang mencari gol.

"Sewaktu lawan dengan Kuala Lumpur, pada minit 25 yang terakhir barulah Sri Pahang dapat bermain dengan baik dan harap untuk perlawanan esok kami dapat lawan seperti mana yang kita buat pada minit-minit akhir ketika menentang Kuala Lumpur," katanya memetik laporan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) pada Rabu.

sean sean

Sean sudah tampil dalam empat perlawanan Liga Super setakat ini. — Facebook/MFL

Dalam pada itu, pemain berusia 28 tahun itu menyifatkan tonggak Selangor, Yohandry Orozco antara pemain yang bakal memberi masalah kepada Sri Pahang dan tugas cukup penting dipikul oleh barisan pertahanan mereka untuk mengawal ketat pergerakan lawan mereka itu pada Khamis.

"Saya lihat Orozco boleh jadi masalah kepada kita, kita kena sedaya upaya untuk tutup peluang dia lebih awal.

"Pemain-pemain lain seperti Ronnie (Fernandez) dan Alvin (Fortes) juga boleh bagi impak dan kita memang kena lebih waspada terutamanya di bahagian pertahanan untuk mengekang asakan mereka," tambahnya.

Sri Pahang ketika ini bergelut di kedudukan ke-10 Liga Super selepas lima perlawanan apabila hanya memenangi satu perlawanan sahaja selain dua seri dan dua tewas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram