[VIDEO] Di sebalik kejuaraan kali ke-11, ada 3 kelab layak digelar 'paling degil' bertemu JDT di SSI


  • Podium
  • Khamis, 27 Feb 2025

Skuad Harimau Selatan secara rasminya sah bergelar juara Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut selepas menewaskan Perak 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada Isnin.

JUARA bertahan Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) sudah mengesahkan kejuaraannya apabila menang 2-0 ke atas Perak FC baru-baru ini di laman sendiri.

Seperti yang diketahui penyokong tanah air, JDT cukup dikenali dengan dominasi mereka di SSI iaitu mencatatkan rekod tanpa kalah dan sering meraih kemenangan besar di laman sendiri.

Tetapi keputusan bertemu Perak menimbulkan persoalan sama ada 'selera' JDT sudah berkurang untuk memburu banyak gol atau strategi merehatkan pemain bagi menghadapi saingan di peringkat Asia kelak.

Apapun alasannya, itu bukan masalah besar buat JDT asalkan tiga mata penuh diraih selain melengkapkan kejuaraan Liga Super buat kali ke-11 berturut-turut dengan rekod tanpa kalah sebanyak 80 perlawanan sejak 2021.

Sebagai rekod, hanya tiga pasukan yang berjaya menyekat JDT berpesta gol di SSI dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) walaupun stadium keramat itu amat digeruni pemain serta penyokong lawan disebabkan aura sokongan yang dicetuskan penyokong JDT sendiri.

BACA LAGI: 'Sikap ambil mudah ancam Sabah, tak mustahil terlepas 'top 3' Liga Super'

BACA LAGI: Haziq Nadzli dapat pujian Hector Bidoglio, JDT tak mungkin berjaya tanpa TMJ

1. Terengganu FC

Terengganu FC berjaya mengekang percubaan skuad Harimau Selatan yang terus melakukan serangan bertali arus ke pintu gawang Sang Penyu.

Dalam aksi di SSI itu, JDT pastinya mempunyai kelebihan untuk mencetak jumlah gol yang banyak, namun kecekapan dan kekentalan benteng pertahanan skuad Peteh meranapkan hasrat JDT.

Dalam perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia pada 1 Februari 2025, Terengganu mencipta sejarah dengan tidak membenarkan JDT mencetak lebih daripada dua gol.

Dalam aksi itu, JDT hanya berhasil menyumbat dua gol dan menyaksikan keputusan akhir 2-1 sekali gus mara ke final Piala Malaysia dengan agregat 6-1.

Kejayaan Terengganu mengekang serangan JDT di gelanggang lawan menunjukkan kekuatan dan disiplin pasukan dalam menghadapi cabaran daripada pasukan bertaraf tinggi.

Walaupun tewas, Terengganu menunjukkan prestasi yang membanggakan dan mampu bersaing dengan pasukan-pasukan lain dalam Liga Super.

2. Kuching City FC

Kuching City FC berjaya memastikan skuad Harimau Selatan tidak berpesta gol di laman sendiri.

Disiplin anak-anak buah Aidil Sharin Sahak menyaksikan mereka berjaya menyekat serangan JDT yang sering menjaringkan lebih daripada empat gol apatah lagi ketika beraksi di laman sendiri.

Dalam perlawanan Liga Super pada 27 September 2024, The Cats mengejutkan penyokong tanah air apabila hanya membenarkan JDT mencetak dua jaringan dalam aksi tersebut.

Meskipun sebuah pasukan 'underdog', Kuching City FC berjaya menunjukkan kekebalan di bahagian benteng pertahanan mereka.

Perlawanan yang berlangsung di SSI itu menyaksikan JDT terpaksa bekerja keras untuk menundukkan Kuching City dengan keputusan tipis 2-1.

Walaupun berjaya mengekalkan tiga mata, Kuching City memberikan tentangan hebat dan hampir mengejutkan tuan rumah di hadapan penyokong setia mereka.

3. Perak FC

Perlawanan penentuan bergelar juara Liga Super bertemu Perak FC di SSI pada Isnin menjadi pertemuan yang diingati oleh penyokong bola sepak tanah air.

Berdepan dengan pasukan yang tidak konsisten dalam liga, penyokong pastinya menjangkakan JDT akan berpesta gol, terutamanya ketika pasukan itu selangkah lagi untuk meraih kejuaraan Liga Super kali ke-11 berturut-turut.

Namun, Perak FC yang kini menghuni tangga keenam liga berjaya mengekang serangan bertali arus JDT.

Kecemerlangan penjaga gol Perak FC, Haziq Nadzli memainkan peranan penting dalam memastikan gawang mereka hanya dibolosi sebanyak dua kali dalam aksi tersebut.

Meskipun tidak berjaya menjaringkan gol di SSI, Perak FC wajar dipuji atas semangat juang dan disiplin yang ditunjukkan dalam memberikan saingan sengit kepada JDT.

Perlawanan itu membuktikan bahawa The Bos Gaurus (TBG) mampu memberikan cabaran sengit kepada juara Piala Malaysia 2024 itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram