Empat tahun kenangan berakhir, coach JDT umum tinggalkan kelab


  • Podium
  • Sabtu, 01 Mac 2025

Gonzalez memahat begitu banyak kenangan manis dalam tempoh empat tahun bersama JDT. — Facebook/JDT

SELEPAS empat tahun mengukir kenangan bersama pasukan elit Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT), penolong jurulatih Harimau Selatan iaitu Ramiro Gonzalez mengumumkan keputusannya untuk meninggalkan kelab berkenaan.

Pengumuman tersebut dibuat melalui satu hantaran di akaun Instagram peribadinya pada 28 Februari 2025 dengan menyaksikan jurulatih kelahiran Argentina itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua keluarga JDT dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail.

Pengendali berusia 35 tahun berkenaan mengakui ia bukan satu keputusan mudah untuk meninggalkan Harimau Selatan berikutan banyak kenangan manis telah diukir dalam tempoh empat tahun bersama JDT.

BACA LAGI: [VIDEO] Di sebalik kejuaraan kali ke-11, ada 3 kelab layak digelar 'paling degil' bertemu JDT di SSI

BACA LAGI: Terima kasih TMJ, JDT untuk 7 tahun berharga — Haziq Nadzli

“Bukan mudah untuk ucap selamat tinggal kepada tempat yang menjadi tempat tinggal saya selama lebih empat tahun. Saya tiba di sini dengan dan saya tinggalkan dengan cerita yang saya takkan lupakan.

“Kita sama-sama berkongsi detik menakjubkan: 165 perlawanan, 13 kejuaraan, empat kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) dan malam-malam gemilang yang tidak terkira di SSI. Namun begitu, pencapaian terhebat ialah menjadi sebahagian daripada keluarga yang hebat ini.

“Penghargaan saya yang tak terhingga buat DYAM Tunku Mahkota Johor. Beliau mengalu-alukan saya pada satu hari semasa tahun 2021 dengan berkata, ‘Selamat datang ke kelab terbaik di dunia.’

“Saya menerima kata-kata itu dan berjuang untuk perkara tersebut setiap hari. Ia satu penghormatan bekerja dengan baginda. Terima kasih, bos,” ujarnya dalam ucapan penghargaan itu.

Gonzalez menyertai JDT pada 2021. — X/Ramiro

Untuk rekod, Gonzalez yang menyertai JDT ;pada Januari 2021 itu sudah bekerjasama dengan tiga pengendali Harimau Selatan iaitu Bidoglio, Benjamin Mora dan Esteban Solari.

Ketiadaanya akan menyaksikan Bidoglio kini dibantu Fernando Bacci, Hamzani Omar, Jon Elorza Dominguez, Jorge Alvarez Alvarez, Alexis Cruz Gasparini dan Aidil Zafuan Abdul Radzak sebagai staf kejurulatihan beliau.

Pengumuman itu menyaksikan Gonzalez mengikut jejak bekas pengendali JDT II, Juan Miguel Munoz Rodriguez yang meninggalkan pasukan selepas bersama juara bertahan Liga Super itu bersama selama dua tahun setengah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram