
JOHOR Darul Ta’zim (JDT) menunjukkan kesungguhan mereka untuk mara lebih jauh dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) dengan menyambar bekas bintang La Liga dan Serie A, Samuel Castillejo.
Pemain berusia 30 tahun itu diperkenalkan melalui sebuah hantaran video di laman Facebook JOHOR Southern Tigers yang menyaksikan Castillejo tiba di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor dan menyarung jersi pasukan Harimau Selatan.
Untuk rekod, pemain kelahiran Sepanyol berkenaan pernah beraksi bersama beberapa kelab terkemuka Eropah seperti AC Milan, Villarreal, Valencia dan Malaga yang membuktikan pengalamannya di pentas tertinggi bola sepak.
BACA LAGI: Hampa mutu barisan hadapan tapi Haziq Nadzli terima pujian lepas 2 'save' penting minit akhir
BACA LAGI: Kelab senyap sunyi antara 3 'point' menarik jendela perpindahan kedua Liga M
Kehadiran Castillejo yang mempunyai reputasi besar beraksi dengan kelab ternama dunia itu ke Johor jelas sebenarnya meningkatkan nilai Harimau Selatan sebagai kelab gergasi Asia dan secara tidak langsung memperkenalkan Liga Malaysia (Liga M).
Mengulas mengenai impak kedatangan Castillejo kepada JDT dalam saingan ACLE, pemerhati sukan tanah air, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berpendapat bahawa keberanian JDT membawa Castillejo membuka mata pemain import gred A untuk menjadikan Liga M sebagai destinasi penghujung karier.
Pemerhati sukan tanah air, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim.
“Ada kemungkinan besar Liga M akan menjadi destinasi sebab reputasi liga kita ini buat pemain cemas kerana ramai orang dengar kelab kita tak bayar gaji.
“Tetapi apabila ada keyakinan dengan pemain gred A datang main JDT dengan dia (Castillejo) mempunyai nama di Eropah. Jadi mereka (pemain lain) tertanya-tanya lah macam mana Castillejo boleh datang?
“Mesti ada orang yang trigger untuk dia datang. Jadi kalau dia pun berani datang, pasti orang memang boleh datang. Jadi dia akan secara tidak langsung menarik perhatian pemain-pemain datang ke Liga kita.
“Keberanian dia datang main JDT akan menutupi kelemahan-kelemahan liga kita yang tidak bayar gaji,” katanya kepada Majoriti yang gembira dengan Kehadiran penyerang sayap baharu Harimau Selatan itu.
Zulakbal melihat kehadiran pemain yang pernah beraksi dengan skuad kebangsaan Sepanyol bawah 21 tahun itu boleh membantu Harimau Selatan sekurang-kurangnya mara hingga saingan suku akhir ACLE.
Keterujaan Zulakbal untuk melihat Castillejo untuk membela Harimau Selatan hadir selepas mencetak 26 gol dan 34 bantuan jaringan dalam 324 penampilannya bersama lima kelab pernah disertainya.
“Saya teruja nak tengok dia main sebab dia rekod dia main di Sepanyol dan sebagainya kan. Saya nampak JDT ada bercita-cita besar. Mungkin mereka (JDT0 nak cuba masuk ke masuk final ke Asia Elit kan.
“Jadi dengan senjata yang sangat ampuh yang diambil ini akan memberikan kita harapan dan InshaaALLAH JDT boleh mencapai matlamatnya. Sekurang-kurangnya JDT boleh mara hingga suku akhir ACLE,” tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram