[VIDEO] 'Sudah masanya lihat Malaysia Golden Boy' fans Rangers senarai kelebihan Arif Aiman ke Eropah


  • Podium
  • Khamis, 09 Jan 2025

Arif sebelum ini dikaitkan dengan beberapa kelab luar negara antaranya ialah Rangers FC.

"SUDAH tiba masanya untuk kita lihat lebih dekat Malaysia Golden Boy."

Itulah ciapan yang dimuat naik oleh akaun The Rangers Journal dalam laman aplikasi X berkenaan bintang Johor Darul Ta'zim (JDT), Arif Aiman Hanapi pada Khamis (9 Januari).

Nama Arif Aiman kembali mendapat perhatian penyokong kelab gergasi Scotland, Rangers FC selepas pemain kebangsaan itu dikaitkan bakal menyertai Persepolis (Iran) untuk menggantikan Saeid Sadeghi.

BACA LAGI: [VIDEO] Hilang kelibat Brendan Gan-Ivan Motika, KL City 'pening kepala' lihat jaringan bekas pemain Australia

BACA LAGI: 'Dia nak lihat saya atas padang', Liridon Krasniqi beri bayangan kembali beraksi

Namun sebelum khabar angin Arif berkelana ke Iran, penyokong Rangers terlebih dahulu berjaya mengintai aksi pemain berusia 23 tahun itu untuk dibawa ke Scottish Premiership (Liga Scotland) bagi memperkuatkan pasukan.

The Rangers Journal yang berpangkalan di United Kingdom, menyifatkan seorang pemain sayap yang sangat bertenaga dan mampu memberikan kelebihan tanpa bola.

"Arif Aiman adalah seorang pemain sayap yang penuh dengan kelajuan, kelincahan, kemahiran, dan pergerakan yang hebat tanpa bola.

"Pemikiran pertama apabila Aiman menerima bola adalah untuk menyerang pertahanan lawan, tetapi dia juga telah menambah sentuhan penyudah yang klinikal sama ada dengan menjaringkan gol atau membantu atau mencipta peluang untuk rakan sepasukannya seperti yang anda akan lihat di bawah.

"Walaupun Aiman mungkin tidak besar dari segi fizikal, ia tidak menghalangnya daripada bertindak agresif. Dia boleh meningkatkan pertahanan, tetapi dia juga seorang pemain yang baik dalam memberi tekanan di kawasan serangan dan mempunyai angka pemulihan yang baik sebanyak 5.3 Per90, jika dibandingkan dengan pemain sayap di Rangers seperti Cerny (3.4 Per90), Bajrami (3.9 Per90), dan McCausland (1.9 Per90).

"Ini menunjukkan bahawa Aiman tidak teragak-agak untuk bekerja keras dari segi pertahanan," ciapnya dalam X.

Tambahnya lagi, penyokong lain mungkin akan ketawa apabila Rangers cuba membawa masuk bakat dari Liga Super Malaysia, namun ia tidak boleh menafikan bahawa Liga Malaysia terbukti mempunyai bakat berkualiti.

"Mungkin ada yang tidak mengambil serius atau bahkan mentertawakan idea untuk menandatangani pemain dari Liga Super Malaysia, tetapi terdapat bakat di luar sana walaupun dalam liga yang kurang dikenali, dan Arif Aiman sememangnya salah satu daripadanya.

"Bukan sahaja Aiman mempamerkan bakatnya di peringkat domestik, tetapi dia juga telah menunjukkannya menentang beberapa pasukan terbaik Asia dalam Liga Juara-Juara Asia, termasuk pasukan elit seperti Shanghai Port yang dikendalikan oleh Kevin Muscat, juara Liga Super China.

"Selama bertahun-tahun, konsistensi Aiman telah meningkat dengan ketara, membolehkannya membawa permainannya ke tahap seterusnya.

"Aiman tidak membiarkan tekanan mempengaruhi dirinya, terutama dengan peranannya sebagai pemain utama di JDT sejak awal debutnya," jelasnya.

Jikalau Arif benar-benar mendapat tawaran daripada Rangers ini memberi peluang untuk pemain berbakat itu untuk mengembangkan kariernya di Eropah sama seperti Safawi Rasid (Portimonense SC), Luqman Hakim (KV Kortrijk) dan Nazmi Faiz (Beira-Mar). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram