Bukan sekadar jadi duta, artis Malaysia boleh contohi Raffi Ahmad, Atta Halilintar bantu kelab Liga M


  • Podium
  • Khamis, 27 Feb 2025

PDRM FC melantik Amir Masdi (kiri) sebagai duta kelab manakala Kedah pula menjadi pasukan kedua Liga Super melantik artis sebagai duta menerusi Black Hanifah.

MUSIM 2024/2025 menyaksikan trend kelab Liga Super melantik artis dan pempengaruh tempatan untuk menjadi duta kelab dengan usaha itu dilihat sebagai salah satu inisiatif membantu menaikkan nilai pasukan.

Seperti yang dilakukan oleh Kedah Darul Aman (KDA) FC baru-baru ini, skuad Sang Kenari melantik artis terkenal tanah air iaitu Hanifah Muhammad Hanafiah atau lebih sinonim dengan gelaran Black Hanifah sebagai duta mereka. 

Selain Black, dua orang pempengaruh media sosial iaitu CEO Bieziy atau nama sebenarnya Irshad Shafiq serta Iqbal Mohd Nor atau lebih dikenali sebagai CEO Batu juga dilantik sebagai duta untuk membantu perniagaan kelab itu.

BACA LAGI: Lepas Black, artis kelahiran Kedah ada 'follower' 6 juta antara 3 potensi besar bergelar duta KDA FC

BACA LAGI: Poster usikan PDRM tak bawa tuah, alami 2 episod kekecewaan berturut-turut

CEO Batu dan CEO Bieziy juga dilantik sebagai duta PDRM FC untuk membantu perniagaan kelab itu.

Manakala, PDRM FC pula melantik penyanyi kacak, Amir Masdi sebagai duta pasukan sebagai usaha meningkatkan imej skuad Sang Saka Biru itu dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Walaupun usaha melantik duta itu dilihat sebagai inisiatif yang sia-sia bagi sesetengah penyokong tempatan namun pemerhati bola sepak tanah air, Prof Madya Zulakbal Abd Karim berpendapat sebaliknya. 

Zulakbal berkata, tindakan pihak pengurusan Sang Kenari itu boleh membantu mengembalikan penyokong untuk hadir ke stadium susulan sudah ramai pengikut kelab beransur-ansur hilang minat untuk menyokong pasukan kesayangan di stadium. 

"Saya fikir ini salah satu usaha Kedah untuk menarik golongan sasaran kembali ke stadium untuk menyokong pasukan. Saya percaya pemilik sedang berusaha untuk memperbaiki keadaan dan ini (melantik duta) antara yang difikirkan.

Black Hanifah (kanan) dan Amir Masdi (kiri) antara artis tempatan yang dilantik sebagai duta kelab bola sepak Liga Malaysia.

"Saya nampak bahawa penyokong lama (berusia) sudah tidak mahu datang sini dan muak. Jadi beliau (Pemilik KDA FC, Tan Sri Daud Bakar) cuba menarik golongan baharu atau muda menerusi aktiviti-aktiviti dijalankan oleh pempengaruh dan artis. 

"Lantikan duta untuk menarik penyokong bukan menunjukkan kelab tidak ada nilai tapi dia mempelbagaikan usaha bagi memperbaiki pasukan keadaan. Pada masa sama mereka gunakan cara lain juga untuk panggil orang datang ke stadium. 

"Di England pun sampai sekarang menggunakan apa program komunikasi korporat yang akan menggunakan pelbagai cara untuk menarik minat penyokong kelab datang ke stadium," katanya kepada Majoriti. 

Raffi Ahmad (dua kanan) merupakan pemilik kelab RANS Nusantara FC yang dahulunya dikenali sebagai Cilegon United.

Dalam pada itu, Zulakbal juga mencadangkan bahawa artis Malaysia atau pempengaruh juga boleh menjadi pemilik saham kelab dengan ia juga merupakan salah satu cara untuk membantu kewangan pasukan. 

Menurutnya, artis tempatan yang mempunyai kewangan kukuh dan berminat dalam bola sepak tanah air boleh meniru sesetengah penggiat seni Indonesia yang menjadi pemegang saham kelab Indonesia. 

"Saya fikir ini sebagai perniagaan. Tidak kira pempengaruh ustaz glamor atau artis, siapa ada duit dia boleh jadi pemegang saham kelab. Tiada masalah jika Malaysia nak tiru macam mana Indonesia buat.

"Influencer boleh pengaruh orang untuk buat macam-macam. Jadi saya fikir langkah melantik artis sebagai duta atau mereka jadi pemilik kelab, memang selaras dengan apa yang sedang berlaku sekarang di dunia iaitu golongan pempengaruh memainkan peranan besar," ujarnya. 

Atta Halilintar (dua kiri) dan Raffi Ahmad (dua kanan) antara selebriti yang memiliki kelab bola sepak di Liga Indonesia.

Untuk info, pelakon terkenal Indonesia iaitu Raffi Ahmad merupakan pemilik kelab pasukan Liga 2 Indonesia, RANS Nusantara FC (sebelum ini dikenali sebagai Cilegon United) apabila dia difahamkan membelanja kira IDR 300 bilion atau (RM81.1 juta) untuk memiliki kelab itu pada 2021. 

Raffi Ahmad yang bekerjasama dengan ahli perniagaan Indonesia, Ruddy Salim mengubah nama Cilegon United menjadi RANS Cilegon FC menerusi pemilikan melalui RANS Entertainment dan Prestige Motocars sebelum sekali lagi ditukar namanya kepada RANS Nusantara pada 2022.

Perniagaan ada pasang surutnya. Musim 2024 yang menyaksikan RANS Nusantara FC diturunkan ke divisyen dua membuatkan Raffi juga mengalami kerugian besar hingga perlu menyeluk poketnya sendiri.

Selain Raffi, pempengaruh terkenal Indonesia iaitu Atta Halilintar pula merupakan pemilik kelab Bekasi FC yang beraksi di saingan Liga 2. Atta pernah mengaku mengalami kerugian besar apabila saingan Liga 2 dihentikan.

Memetik laporan Bola Times, Atta berkata menguruskan kelab dalam Liga 2 bukanlah murah. Purata pelaburan, kata Atta, adalah antara Rp 15 bilion hingga Rp 25 bilion atau RM4juta hingga RM6.7 juta setahun. Justeru, dia mengakui mengalami kerugian apabila Liga 2 musim 2022/23 dihentikan. 

Selain kehilangan wang, pasukan Atta juga kehilangan penaja. Mungkin kerana kos yang tinggi, Atta melepaskan cengkamannya di FC Bekasi City. Kini orang yang bertanggungjawab penuh FC Bekasi City hanyalah Putra Siregar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram