
KEJUARAAN Liga Super musim 2024/2025 sudah sah menjadi milik Johor Darul Ta'zim (JDT) selepas mudah menewaskan Perak FC di halaman sendiri dengan keputusan 2-0 menerusi jaringan Jese Rodriguez dan Jorge Obregon pada Isnin.
Kini, semua mata akan tertumpu pada pertarungan antara Selangor FC dan Sabah FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor pada Khamis untuk menentukan tempat naib juara Liga Super.
Selangor kini memegang tempat kedua dengan 42 mata, manakala Sang Badak menduduki tempat ketiga dengan 34 mata, berazam untuk merapatkan jurang. Kedua-dua pasukan berbaki tiga perlawanan sebelum musim Liga Super berakhir.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Darren Lok keseorangan', kehilangan 2 peledak Brazil gusarkan fans Sabah FC
BACA LAGI: Import Selangor, Kedah, Sabah hilang sengat lepas tinggalkan Liga M
Perlawanan ke-20 untuk kedua-dua kelab itu bertambah penting susulan ia akan menentukan pasukan mana yang berhasil mendapatkan tiket automatik ke saingan Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) untuk musim depan.
Mengikut keadaan semasa, Selangor tampak berkelebihan susulan mempunyai pemain utama dan skuad depth yang menjanjikan. Sementara, The Rhinos pula diuji dengan masalah kecederaan menimpa beberapa pemain utama.
Dua pemain utama yang terpaksa diketepikan dari perlawanan menentang Gergasi Merah ialah Gabriel Peres akibat kecederaan lutut dan Haris Stamboulidis pula dilaporkan patah tulang rahang akibat perlanggaran dengan Saddil Ramdani.
Pedro kini beraksi secara pinjaman bersama Ho Chi Minh City. — Facebook/SabahFC
Manakala, bahagian serangan Sabah FC juga sedikit goyah apabila terpaksa mengucapkan selamat tinggal sementara kepada penyerang Brazil, Joao Pedro yang dipinjamkan ke Ho Chi Minh City.
Bagaimanapun, Martin Stano selaku pengendali Sabah seolah-olah sudah memiliki rencah rahsia sendiri untuk meraih tiga mata di gelanggang Gergasi Merah apabila memberi petunjuk akan menurunkan pemain berpengalaman Sang Badak.
Menerusi hantaran dari Sabah FC, Ummareng Bacok dijadikan sebagai 'poster boy' dengan ia dianggap sebagai petunjuk dari barisan kejurulatihan bahawa penyerang sayap itu akhirnya akan diturunkan dalam aksi Liga Super musim ini.
Untuk rekod, anak jati Sabah berusia 30 tahun itu masih belum merekodkan aksi Liga Super musim ini dan hanya diturunkan dalam dua perlawanan Piala Malaysia menentang PT Athletic. Ia juga menyaksikan Ummareng merekodkan satu bantuan jaringan.
Berdasarkan statistik berkenaan, mungkin ada yang menganggap menurunkan Ummareng adalah satu perjudian namun dedikasinya bersama Sabah sejak 2017 pastinya akan membantu Sabah sekurang-kurangnya memperoleh satu mata di MBPJ. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram