
SEJAK menyertai Malut United pada awal Januari lalu, Sony Norde sudah kelihatan semakin berpuas hati meskipun sentuhannya tidaklah begitu baik seperti mana ketika dia bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC.
Berdasarkan rekod semasa, bekas pemain kebangsaan Haiti itu masih belum mencetak sebarang gol mahupun bantuan jaringan dalam lima penampilan Liga 1 Indonesia.
Kekurangan dari segi sumbangan di hadapan pintu gol tersebut bagaimanapun tidak menyaksikannya disisihkan daripada pasukan kerana sejak menyertai pasukan itu, mereka berjaya mengumpulkan 10 mata daripada lima perlawanan terakhir.
BACA LAGI: Sony Norde kini jumpa kelab baharu, sertai Malut United di Indonesia
BACA LAGI: [VIDEO] Sony Norde hanya pergi 6 bulan, janji balik KDA FC kalau semua selesai
Sony (kanan) bersama Khairul Nizam yang kini bertugas buat Borneo FC. — Facebook/Malut United
Ini termasuk dalam aksi pada Isnin ketika Malut United bertemu juara bertahan liga, Borneo FC di laman sendiri dengan Sony berada dalam kesebelasan utama buat lima perlawanan berturut-turut.
Kehadirannya jelas membawa keuntungan buat skuad bimbingan Imran Nahumarury yang merekodkan kemenangan 3-0 dengan Adriano Castanheira menjaringkan dua gol sementara satu lagi jaringan dihasilkan Junior Brandao pada masa kecederaan.
Namun, tumpuan diberikan peminat bola sepak Indonesia pada aksi berkenaan apabila pemain kedua-dua pasukan sempat meluangkan masa bersama-sama usai perlawanan di Stadium Gelora Kie Raha berakhir.
Sony juga sempat bertemu beberapa pemain dan barisan kejurulatihan Borneo FC, termasuk jurulatih penjaga gol pihak lawan, Khairul Nizam Mohd Taib seperti mana dikongsikan di Instastory peribadi pemain berkenaan.
Khairul Nizam pernah bertugas sebagai jurulatih penjaga gol skuad TRW. — Facebook/Kelantan FC
Tonggak buat pasukan masing-masing itu kelihatan tersenyum dalam foto terbabit meskipun mereka tidak pernah berada dalam sebuah kelab sepanjang berada dalam Liga Super.
Pada awal Julai 2024, Khairul Nizam diserap ke dalam barisan kejurulatihan Borneo FC berkenaan dengan penjaga gawang seperti Angga Sapurto, Nadeo Argawinata dan Daffa Fasya berada di bawah kendaliannya musim ini.
Kepercayaan diberikan kepada jurulatih terbabit kerana sepanjang kariernya, dia pernah membuktikan kebolehannya ketika menyertai Kelantan FC kira-kira tiga tahun lalu.
Selain itu, jurulatih berusia 48 tahun tersebut pernah melebarkan sayap kejurulatihannya sehingga ke Afrika untuk bertugas Twinstar Academy De Guinee di Guinea.
Pengalaman di peringkat antarabangsa itu memberikan peluang buat Khairul Nizam untuk mencuba nasib di Indonesia dengan kehadirannya membantu kelab terbabit muncul juara Liga 1 Indonesia tahun lalu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram