
SAINGAN musim 2024/2025 belum berakhir lagi namun sudah ada kelab Liga Super yang telah mengumumkan lanjutan kontrak untuk pemain mereka dengan kebanyakannya adalah tonggak utama sepanjang kempen Liga Malaysia (Liga M) berlangsung.
Langkah yang dilakukan oleh pihak pengurusan itu jelas disambut baik oleh penyokong kerana ia boleh mengelak pasukan lain datang menawarkan kontrak lebih lumayan kepada pemain utama mereka.
Malah, dengan status kontrak yang masih panjang, kelab juga boleh mendapat keuntungan lebih lumayan jika ada pasukan lain mahu mengikat kontrak pemain mereka susulan perlu membayar yuran perpindahan.
BACA LAGI: Bonilla pamer wajah tak puas hati ‘dibuang’ lepas ledak gol kedua TFC di Paroi
BACA LAGI: Gembira Nurillo sambung kontrak, fans TFC mahu kelab sambar import senegara di Kedah perkuat pasukan
Sepanjang tempoh bersama kelab, para pemain yang telah menerima lanjutan kontrak telah menjadi tonggak utama dengan sumbangan signifikan dalam aspek permainan tertentu, seperti jaringan gol, bantuan jaringan dan pertahanan.
Musim ini pasukan seperti Terengganu FC, (TFC), Negeri Sembilan FC (NSFC) dan Penang FC menjadi pasukan terawal membuat keputusan sedemikian rupa bagi mengelak pemain mereka disambar oleh pasukan lain.
Oleh itu, kali Majoriti menyenaraikan pemain Sang Penyu, NSFC dan Harimau Kumbang yang sudah menerima lanjutan kontrak daripada kelab masing-masing.
1) Takumi Sasaki
Sasaki (kiri) antara import menyinar untuk NSFC musim ini. — Facebook/NSFC
Takumi Sasaki merupakan nama yang sudah tidak perlu diperkenalkan berikutan pemain import Jepun itu memainkan peranan cukup penting dalam menyelamatkan maruah Negeri Sembilan pada musim ini.
Sasaki yang beraksi sebagai pemain tengah menyerang musim ini menjadi kunci ketajaman serangan skuad Jang. Dia mempunyai kualiti untuk membawa bola dengan baik serta mampu melakukan larian-larian menyerang berbahaya ke kotak penalti lawan.
Pemain berusia 27 tahun yang tiba pada awal tahun 2024 itu telah mencetak satu dan tiga bantuan jaringan dalam 23 perlawanan Sasaki diturunkan pada musim ini.
Berdasarkan statistik dan sumbangan berkenaan, tidak hairan jika Sasaki sudah ditawarkan lanjutan kontrak kepadanya untuk kekal di Negeri Sembilan sekurang-kurangnya satu musim lagi.
2) Dylan Wenzel-Halls
Dylan (tengah) antara penyerang sensasi Penang musim ini. — Facebook/PenangFC
Penyerang Australia, Dylan Wenzel-Halls tiba dengan tanggungjawab besar untuk Penang FC apabila perlu menambah baik bahagian serangan Harimau Kumbang susulan prestasi hambar Rodrigo Dias.
Bersama Central Coast Mariners, Wenzel-Halls hanya menjaringkan tiga gol dalam 12 penampilannya di A-League Men (Liga Australia) dan merekodkan 27 jaringan sepanjang karier bola sepaknya.
Rekod tersebut jelas menimbulkan kritikan dalam kalangan penyokong. Namun, penyerang berusia 28 tahun berkenaan membalas tomahan mereka dengan persembahan memukau dalam saingan domestik.
Selepas 13 perlawanan diturunakan, Dylan sudah mencetak lima gol serta dua bantuan jaringan untuk Harimau Kumbang. Susulan itu, penyerang berkenaan dilaporkan telah mendapat tawaran lanjutan kontrak selama setahun dengan Penang.
Ia dikongsikan pemerhati sukan tanah air, T. Avineshwaran dengan dia menyifatkan Dylan sebagai salah satu daripada pembelian terbaik dalam jendela perpindahan Liga Malaysia musim ini.
3) Nurillo Tukhtasinov
Nurillo (kiri) pemain tengah menyinar untuk Sang Penyu. — Facebook/TFC
Pada November lepas, Terengganu FC mengumumkan yang pasukan berkenaan dengan sukacitanya menyambung kontrak pemain tengah dari Uzbekistan iaitu Nurillo Tukhtasinov sehingga Disember 2025.
Skuad Sang Penyu tanpa menafikan memberitahu bahawa pemain berusia 28 tahun berkenaan pada asalnya menerima beberapa tawaran dari pasukan lain sebelum memilih untuk kekal bersama Terengganu.
Musim ini sahaja, bekas pemain kebangsaan Uzbekistan itu telah menunjukkan prestasi cemerlang dengan menjaringkan empat gol daripada 20 penampilan, termasuk dalam saingan kejohanan Piala Shopee.
Sejak menyertai Terengganu, Nurillo telah mencatatkan 42 penampilan, dengan lima gol dan satu bantuan jaringan. Statistik ini membuktikan peranannya yang konsisten dalam skuad serta keupayaannya untuk memberi impak di atas padang.
Beraksi di posisi tengah serangan, Nurillo jelas menjadi antara nadi utama pasukan. Gandingannya bersama Manny Ott selaku perancang utama kerap menghasilkan gerakan berbahaya yang membuka ruang buat jentera serangan mencipta peluang gol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram