
PEMERGIAN Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Ishsam Shahruddin ketika beraksi dalam Kejohanan Bola Sepak Empat Penjuru Piala Ketua Menteri Pulau Pinang pada Sabtu lalu terus menjadi buah mulut orang ramai.
Ini kerana Allahyarham yang merupakan bekas pemain Perak pada era 1980-an dan awal 1990-an itu dilaporkan mengamalkan gaya hidup aktif seperti mana dikongsikan anaknya.
Bagaimanapun, laporan bedah siasat mendapati Ishsam mengalami serangan jantung ketika terlibat dalam pertandingan tersebut dengan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) gagal menyelamatkannya.
BACA LAGI: Azizul Abu Hanifah antara bekas pemain Perak hadir majlis pengebumian Ishsam Shahruddin
Ishsam gagal diselamatkan meskipun bantuan CPR diberikan pihak perubatan.
Insiden berkenaan sekali gus menimbulkan kegusaran daripada orang ramai yang berasa gusar bahawa gaya hidup sihat masih tidak dapat mengelak seseorang daripada mengalami serangan jantung ketika bersukan.
Berdasarkan luahan di media sosial, mereka beranggapan aktiviti seperti berlari-lari anak atau jogging yang kerap dilakukan Allahyarham tidak cukup untuk memastikan keadaan jantung terus sihat.
Tampil memberi penjelasan berkenaan hal tersebut, bekas jurulatih kecergasan Kelantan FC, Iskandar Salleh menyatakan aktiviti kecergasan itu berbeza dengan keadaan ketika seseorang berada terlibat dalam sukan bola sepak.
"Berdasarkan daripada perkongsian anaknya, arwah kerap joging. Tetapi, joging ini sukan statik yang kesannya berbeza dengan sukan bola sepak. Jadi, apa yang perlu sekiranya individu berusia ingin aktif adalah dengan terlibat dalam aktiviti lebih berintensiti tinggi.
"Ini termasuk larian berbentuk interval iaitu berjogging 30 saat diikuti larian 30 saat sebanyak dua kali seminggu. Seseorang itu juga boleh melakukan pecutan 20 meter yang diulangi sebanyak 30 kali. Lakukan ini dan pastikan dapat rehat secukupnya," katanya kepada Majoriti.
Iskandar (dua dari kanan) menceritakan cara bersenam yang sesuai bagi individu berusia. — Facebook/TRW Kelantan FC
Iskandar yang juga merupakan bekas pemain ragbi kebangsaan itu pernah berkongsi pengalaman bahawa kenalannya pernah menghebuskan nafas terakhir ketika terlibat dalam sukan berintensiti tinggi.
Jadi, pendedahan dan kesedaran mengenai kaedah gaya hidup aktif yang baik perlu diberikan kepada orang ramai supaya insiden sedemikian tidak lagi berulang pada masa akan datang.
Penjelasan mengenai kes serangan jantung turut diberikan bekas Ketua Sains Sukan Selangor FC, Dr Hazwan Khair turut menjelaskan serangan jantung boleh dialami seseorang yang aktif disebabkan beberapa faktor.
"Sesetengah individu mungkin mempunyai penyakit jantung yang tidak menunjukkan sebarang gejala sebelum ini atau turut dikenali sebagai penyakit jantung asimptomatik. Penyumbatan arteri koronari boleh berkembang secara senyap dan hanya menampakkan simptom ketika aktiviti fizikal berat.
Degupan jantung terlalu laju ketika bersukan boleh mengakibatkan serangan jantung.
"Sejarah keluarga dengan penyakit jantung juga boleh meningkatkan risiko walaupun individu tersebut aktif dan menjaga pemakanan. Tekanan emosi atau fizikal yang tinggi boleh mencetuskan peningkatan hormon stres seperti adrenalin yang boleh mempengaruhi irama jantung dan fungsi vaskular," katanya.
Tambahnya, seseorang itu boleh mengelak serangan jantung dengan beberapa langkah, termasuk melakukan pemeriksaan kesihatan berkala sebelum terlibat dalam program senaman.
Ketika sedang menjalani aktiviti cergas pula, mereka yang terlibat diingatkan supaya minum air mencukupi bagi mengelak risiko dehidrasi selain mengawal tahap stres dan emosi.
Hazwan menjelaskan cara pengurusan jantung ketika sedang aktif bersukan. — Facebook/Selangor FC
Tekanan terlalu tinggi ketika bersukan boleh mengakibatkan kesan negatif terhadap jantung dengan sebarang simptom seperti degupan terlampau laju atau tidak teratur perlu diawasi.
Selain itu, Hazwan turut mengingatkan pihak penganjur untuk menyediakan pasukan perubatan lengkap dan mencukupi supaya sebarang risiko kesihatan boleh dielakkan.
"Penyediaan liputan perubatan mencukupi di tepi padang semasa acara sukan adalah amat penting dalam mengurangkan risiko kematian akibat serangan jantung secara tiba-tiba.
"Menyediakan persekitaran sukan yang selamat bukan hanya tanggungjawab individu, tetapi juga penganjur acara dan pasukan perubatan yang bertugas," jelasnya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram, WhatsApp Channel dan Telegram