
LIMA minggu menyertai sesi percubaan bersama skuad belia kelab berpangkalan di Jerman, VfL Wolfsburg bermula awal Ogos lalu nyata memberi pengalaman berbeza buat prospek bola sepak wanita tanah air, Qaseh Rania Khairul Najib.
Bertutur dalam bahasa berbeza bukan alasan bagi tonggak berusia 14 tahun berkenaan mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharu sehingga menjadi pemain yang disenangi oleh rakan-rakan di sana.
Berkongsi kepada Majoriti mengenai pengalaman sewaktu awal-awal berpijak di bumi Jerman, Qaseh Rania sama sekali tidak menyangka rupa paras dan bentuk fizikalnya bakal menjadi topik perbualan pertama mereka.
BACA LAGI: Tawar kembangkan bakat 'ubi muda' sehingga ke Jerman kemuncak cara Wolfsburg cungkil bakat lokal
Dengan raut wajah dan ketinggian yang dimiliki oleh 'ubi muda' terbaik dalam Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), ramai menyangka bahawa Qaseh Rania berasal daripada Amerika Latin.
“Mereka tak percaya yang ada orang Asia tinggi macam ini. Mereka ingat Rania orang Mexico sebab fizikal dan muka. Bila dapat tahu Rania orang Asia, mereka macam wow tapi tak tahu Malaysia.
“Mereka hanya tahu Jepun, Korea. Bila dah terangkan pasal Malaysia, mereka hanya tahu Menara KLCC. Awal-awal itu, Rania yang pergi bermesra dengan mereka untuk break the ice. Kita tak boleh nak tunggu mereka datang kepada kita. Kita yang kena tegur mereka.
“Awal-awal memang kekok lah tapi mereka okey. Dalam seminggu dah jadi kawan. Ada dalam tiga orang yang boleh cakap English dan mereka yang antara rapat dengan Rania. Tapi di sini (Wolfsburg) semua jenis friendly,” katanya.
Bukan hanya mudah berkawan di luar padang, anak jati Puchong, Selangor itu juga tidak mempunyai masalah mengadapatasi dengan taktikal dan corak permainan kelab yang pernah menjuarai Liga Juara-Juara Wanita UEFA (UWCL) sebanyak dua kali tersebut.
Qaseh Rania bersama ayahnya. — Instagram/Qaseh Rania
Kelebihan Qaseh Rania yang cepat mempelajari perkara baharu itu juga memudahkan jurulatih skuad Bawah 15 (B-15) tahun dan B-18 tahun untuk menyenaraikan penyerang berkenaan dalam setiap perlawanan mereka.
“Mereka suka main kasar, macam Rania, sebab itu saya cepat blend kerana corak permainan yang sama. Mereka pun main long ball. Decision making mereka pun bagus. Jadi, bila main itu, semua boleh sokong kita.
“Pujian pertama dari barisan jurulatih, mereka beritahu yang saya ini seorang yang berbakat. Dengan Rania ini jenis cepat blend dengan mereka. Misalnya, kali pertama bersama pasukan B-17 dan B-15, saya dah seperti main lama dengan mereka,” kongsinya.
Dengan pujian menggunung yang dicurahkan kepada pemain muda berkenaan, tidak hairanlah jika pasukan berprestij tersebut terpikat untuk menggunakan khidmatnya dan ditawarkan untuk bermain bersama skuad B-17 mereka.
Perkembangan itu dikongsikan bapanya, Khairul Najib Ibrahim yang setia menemani puterinya itu sepanjang sesi percubaan selama lima minggu dengan pasukan belia kelab itu baru-baru ini.
Qaseh Rania bersama rakan sepasukannya. — Instagram/Qaseh Rania
Bagaimanapun, seperti yang sudah diketahui sebelum ini bahawa masalah visa dan permit untuk beraksi di negara berkenaan menjadi halangan buat Qaseh Rania meneruskan impian beraksi bersama Wolfsburg.
“Ada dua cara untuk bantu Qaseh Rania ke sana. Pertama, kami semua perlu berpindah dan saya yang kena cari kerja di sana. Yang kedua dapatkan keluarga angkat untuk dia. sambil-sambil tu kena tunggu permitlah.
“Saya tak tahu nak jangkakan permit itu kelab yang kena uruskan permit. Permit bermain itu mungkin agak sukar kerana UEFA hanya iktiraf ranking negara satu hingga 60 sahaja kalau nak main di Eropah. Jadi, prosesnya agak rumit,” jelasnya.
Sebelum ini Majoriti melaporkan bahawa isu berbangkit termasuk pendidikan buat Rania serta permit bekerja dengan pihak Wolfsburg akan terus membantunya dalam aspek-aspek berkenaan.
Ini kerana kelab Jerman terbabit menyediakan pelbagai kelengkapan buat pemain belia mereka, termasuk sekolah antarabangsa yang dihadiri 'ubi muda' yang hadir dari pelbagai negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram