[VIDEO] 'Trial' Rania di Wolfsburg buahkan hasil tapi isu logistik jadi penghalang terima 'hitam putih'


  • Podium
  • Rabu, 25 Sep 2024

Rania menjalani sesi percubaan selama beberapa minggu di Wolfsburg dengan pelbagai pengalaman diraihnya. — Instagram/Qaseh Rania

CITA-CITA besar diletakkan pemain muda bola sepak negara, Qaseh Rania Najib apabila dia memberanikan diri dengan mencuba nasib memulakan karier di Eropah.

Ini selepas dia menghadiri tempoh percubaan buat sebuah kelab berpangkalan di Jerman, VfL Wolfsburg yang merupakan antara pasukan terbaik dalam negara.

Selain pernah menjuarai Liga Juara-Juara Wanita UEFA (UWCL) sebanyak dua kali, pasukan bimbingan Tommy Stroot itu kerap melahirkan pemain muda berkualiti dengan membuka pintu luas buat mana-mana 'ubi muda' berpotensi.

BACA LAGI: Tawar kembangkan bakat 'ubi muda' sehingga ke Jerman kemuncak cara Wolfsburg cungkil bakat lokal

BACA LAGI: Ikhlas mahu bantu bola sepak lokal, kerjasama dengan MBI Selangor jadi sasaran Wolfsburg

Jadi, tidak hairanlah apabila pemain berusia 14 tahun berkenaan tidak berfikir lama untuk menyertai sesi percubaan bersama skuad belia Wolfsburg bermula awal Ogos lalu.

Keputusan itu membuahkan hasil terbaik apabila pada Rabu, Ketua Wakil Wolfsburg Asia Tenggara, Ken Hew menceritakan bagaimana kelab tersebut cukup tertarik dengan potensinya.

Menurutnya, pengalaman Rania berlatih dalam pasukan belia membawa manfaat buat dirinya dalam pelbagai aspek, termasuk menjadikannya seorang pemain bersikap interaktif.

"Seperti saya katakan, dia amat dikehendaki skuad Bawah 17 Tahun (B-17) dan kini terpulang kepada apa yang bapanya fikir kerana pemain itu masih muda.

2843341

Ken Hew (dua dari kanan) akan terus membantu Rania serta keluarganya.

"Jika keluarganya mengatakan dia boleh ke sana pada tahun depan, kita akan tetapkan kerana dia sudah dijamin tempatnya dalam skuad B-17. Apa yang penting ketika ini adalah mengenai bapa dan keluarganya untuk membuat keputusan," katanya.

Perpindahan Rania ke Wolfsburg sudah tentu membuka lembaran baharu dalam kariernya kerana ia akan memberi peluang buat 'ubi muda' tempatan mengembangkan bakat di Eropah.

Meskipun beberapa pemain wanita pernah mencuba nasib sebelum ini, tempoh singkat membuatkan orang ramai kurang mengetahui akan kehadiran masing-masing di luar negara.

Jelas Ken Hew lagi, isu logistik ketika ini sedang diselesaikan keluarga Rania dengan perkara itu sedikit sebanyak menghalang Wolfsburg daripada memberi kontrak kepadanya.

VFL Wolfsburg

Rania (atas, tiga dari kanan) ketika menjalani tempoh percubaan di Wolfsburg. Instagram/Qaseh Rania

"Kita masih tidak boleh memberikannya sebarang 'hitam putih' sehingga bapanya menyelesaikan masalah berbangkit. Sebaik sahaja jalan sudah ditemui, kami akan memberikannya kontrak.

"Ini kerana kita perlu menunggu 'lampu hijau' daripada keluarga kerana apa guna kita tawarkan kontrak tetapi isu-isu belum diselesaikan?" jelasnya lagi.

Berdasarkan perkongsian, isu berbangkit termasuk pendidikan buat Rania serta permit bekerja dengan pihak Wolfsburg akan terus membantunya dalam aspek-aspek berkenaan.

Ini kerana kelab Jerman terbabit menyediakan pelbagai kelengkapan buat pemain belia mereka, termasuk sekolah antarabangsa yang dihadiri 'ubi muda' yang hadir dari pelbagai negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram