'Sikap ambil mudah ancam Sabah, tak mustahil terlepas 'top 3' Liga Super'


  • Podium
  • Rabu, 26 Feb 2025

Sebahagian sesi latihan Sang Badak menjelang perlawanan mendebarkan bertemu Selangor FC pada Khamis. — Facebook/Sabahfc

SABAH FC kini berada dalam posisit tiga pasukan terbaik Liga Super, namun kedudukan tersebut dilihat semakin terancam.

Hal ini kerana, pasukan Borneo itu terpaksa melupakan khidmat dua pemainnya iaitu penyerang Brazil, Joao Pedro dan pertahanannya, Haris Stambuolidis.

Pedro dilaporkan dipinjamkan ke Ho Chi Minh City FC, manakala Stambuolidis disahkan mengalami patah tulang rahang akibat pertembungan dengan rakan sepasukan, Saddil Ramdani semasa sesi latihan pada Selasa. 

BACA LAGI: Haziq Nadzli dapat pujian Hector Bidoglio, JDT tak mungkin berjaya tanpa TMJ

BACA LAGI: [VIDEO] Lepas tinggalkan Sang Penyu, Marin Pilj buktikan mampu ledak gol

Legenda Sabah FC, Matlan Marjan. 

Ketiadaan kedua-dua pemain tersebut dijangka memberi impak kepada strategi pengendali Martin Stano dalam menghadapi baki saingan liga musim ini.

Mengulas mengenai prestasi Sabah yang semakin membimbangkan, legenda Sang Badak, Matlan Marjan berkata, sekiranya persembahan The Rhinos tidak diperbaiki, tidak mustahil pasukan itu akan turun dari kedudukan 'top 3'.

"Memang benar mereka berada dalam kelompok 'top 3' ketika ini. Tapi, saya rasa walaupun Sabah berada di 'top 3', ia bukan sesuatu yang sempurna.

"Dari awal musim, saya sudah menjangka, kalau pun Sabah berada di 'top 3', saya tahu akan ada kelemahan.

"Lihat saja perlawanan dengan Sri Pahang FC saingan Piala Malaysia dan Liga Super, mereka bermain dengan santai, sementara Sabah pula nampak kurang bersemangat.

"Jika prestasi begini berterusan dan tidak memperbaiki corak permainan, tidak mustahil kita akan turun dari 'top 3'," katanya kepada Majoriti.

Sabah FC hanya meraih keputusan seri dalam dua perlawanan terakhir Liga Super ketika bertemu Sri Pahang dan Kuala Lumpur City FC. Facebook/Sabahfc

Begitupun, Matlan turut menaruh harapan agar skuad The Rhinos meraih keputusan positif menjelang perlawanan mendebarkan bertemu Selangor FC dalam saingan Liga Super pada Khamis.

Matlan turut berharap agar skuad kendalian Stano itu memperbaiki corak permainan dan memberikan persembahan yang terbaik dalam menempuh baki saingan liga musim ini.

"Perlawanan dengan Selangor memang 50-50. Tengok saja dua perlawanan terakhir, prestasi pasukan tidak menunjukkan perubahan yang besar.

"Kalau Saddil tidak ada, kita akan nampak kekurangan dalam bahagian serangan. Selangor pastinya akan menjadi cabaran besar, jadi kita perlu lebih bersedia.

"Saya harap kita boleh memperbaiki permainan dan memberi yang terbaik. Kalau kita tewas lagi, kedudukan kita dalam carta akan semakin terancam. Kita perlu bangkit dan memberi persembahan terbaik.

"Jadi, saya rasa untuk kekal dalam 'top 3' sekarang sudah semakin sukar. Namun, kita masih bersyukur kerana berada di 'top 3'.

"Ada lagi pasukan yang lebih kuat dan perlawanan yang mencabar tapi kita terus bertahan. Dalam bola sepak, apa-apa boleh berlaku, tidak ada yang mustahil," tambahnya.

Kehilangan Saddil merencatkan jentera serangan Sabah FC. — Facebook/Sabahfc

Bercakap mengenai kehilangan dua pemain Sabah tersebut Matlan berkata, setiap pasukan harus bersedia dengan pemain simpanan yang berkualiti untuk menghadapi situasi sebegitu.

Menurutnya, kecederaan Stamboulidis dan kehilangan Pedro bukanlah satu isu besar yang perlu dibahaskan.

"Mengenai kecederaan Stamboulidis, itu bukan isu besar. Semua pasukan pasti ada terpalit dengan kecederaan, tapi yang penting adalah kemampuan untuk menggantikan pemain tersebut.

"Kalau Haris tidak bermain, kita masih ada penggantinya. Sama juga dengan Pedro, walaupun dia pergi ke Ho Chi Minh, kita ada pemain yang boleh mengisi kekosongan tersebut.

"Kalau pasukan ini kuat, kita masih boleh mengatasi masalah seperti itu. Pasukan ini sudah disediakan dengan baik, dari kesebelasan utama pemain hingga ke simpanan.

"Semua pemain tahu peranan mereka dan kita ada sistem yang akan terus berfungsi walaupun ada kecederaan.

"Kehilangan Pedro dan Stamboulidis memang memberi kesan, tetapi kita masih ada pemain yang boleh mengisi kekosongan tersebut," jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp Channel dan Telegram