BAMTC 2025: Bangkit demi Malaysia, Letshanaa mahu terus diberikan kepercayaan


  • Podium
  • Rabu, 12 Feb 2025

Letshanaa kekal tenang pada detik-detik penting untuk memastikan kemenangan berharga buat dirinya dan pasukan.

PEMAIN perseorangan wanita, K. Letshanaa memperoleh keyakinan selepas menyumbang satu mata untuk Malaysia menentang Hong Kong dalam saingan Kumpulan B Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) 2025.

Acara perseorangan wanita secara tradisinya merupakan salah satu kelemahan Malaysia dalam pertandingan berpasukan campuran.

Namun, pemain ranking ke-53 dunia, Letshanaa, menunjukkan bahawa persepsi itu boleh berubah apabila dia bangkit pada saat genting untuk menewaskan pemain ranking ke-97 dunia, Saloni Samirbhai, dengan keputusan 21-18, 21-18 di Pusat Sukan Qingdao Conson, China pada Rabu (12 Februari).

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan Bergson da Silva, fans banding rekod Romel Morales dengan bintang baharu Indonesia

BACA LAGI: [VIDEO] Tiada tempat di JDT, Francisco Geraldes ikut jejak Liridon 'dihantar' ke Australia

Walaupun Saloni merupakan pemain pilihan berdasarkan ranking, kemenangan bukanlah jaminan baginya kerana kejutan sering berlaku dalam kejohanan berpasukan.

Letshanaa kekal tenang pada detik-detik penting untuk memastikan kemenangan berharga buat dirinya dan pasukan.

Walaupun Malaysia akhirnya tewas 2-3 dalam perlawanan keseluruhan, kemenangan tersebut memberi suntikan semangat besar buat Letshanaa.

"Ia adalah perlawanan yang agak sukar dan juga perlawanan pertama saya dalam kejohanan ini. Namun, ia menjadi perlawanan yang baik buat saya.

"Saya bermain dengan lebih konsisten dan berjaya menyumbang mata untuk pasukan. Keadaan gelanggang agak mencabar, jadi, saya gembira dapat meraih kemenangan," kata Letshanaa.

Pemain berusia 21 tahun itu berharap dapat meneruskan prestasi cemerlangnya jika dipilih sekali lagi mengatasi pemain ranking ke-95 dunia, Wong Ling Ching, untuk menentang Indonesia dalam perlawanan penting buat Malaysia pada Khamis (13 Februari).

Malaysia perlu meraih kemenangan bagi mara ke suku akhir.

Letshanaa atau Ling Ching bakal berdepan tugas sukar menentang sama ada pemain ranking ke-14 dunia, Putri Kusuma, atau ranking ke-40 dunia, Komang Ayu.

Putri telah memulakan perlawanan pertama Indonesia menentang Hong Kong pada Selasa dan dengan mudah menewaskan Yeung Sum Yee untuk membantu pasukannya menang 5-0. — The Star/R. KIRUBASHINI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram