Tamatkan kempen NSL 2025 di tangga ke-3, Johor Jewels diseru bangkit edisi akan datang


  • Podium
  • Ahad, 23 Feb 2025

Kemenangan ke atas Perak Phoenix dalam penentuan tempat ketiga pasti mengubati kekecewaan penyokong Johor Jewels. — Facebook/NSL

SELEPAS menjuarai dua gelaran Liga Super Bola Jaring (NSL) berturut-turut, Johor Jewels tidak berpeluang meneruskan rekod itu setelah ditunjukkan jalan keluar oleh Kuala Lumpur (KL) Wildcats.

Kekalahan di pusingan separuh akhir itu menyaksikan pasukan Selatan tanah air berkenaan bertemu Perak Phoenix dalam aksi penentuan tempat ketiga di Stadium Juara, KL pada Ahad.

Perlawanan itu sememangnya dimanfaatkan anak-anak buah Tracey Robinson yang memulakan aksi dengan baik sehingga membolehkan mereka menundukkan lawan mereka tersebut dengan keputusan 40-32.

BACA LAGI: 'Dah jangka awal', Johor Jewels gagal pertahan kejuaraan usai tewas kepada Wildcats

BACA LAGI: Bukan misi balas dendam, Johor Jewels 'update' status An Najwa menjelang semifinal

Johor Jewels tersingkir di pusingan separuh akhir NSL 2025 kepada KL Wildcats. Facebook/NSL

Ketiadaan tonggak utama, An Najwa Azizan yang beraksi cemerlang sepanjang kempen NSL 2025 di posisi penjaring gol (GS) tidak mematahkan semangat Johor Jewels.

Ini kerana penggantinya, Puteri Intan Balqis tampil dengan persembahan bersemangat setelah menunjukkan persefahaman baik dengan Adri Sheila yang bermain sebagai penyerang gol (GA).

Aksi ditampilkan Johor Jewels secara keseluruhan juga wajar diberi pujian dengan penyokong mereka sendiri berpuas hati atas kejayaan menamatkan kempen NSL kali ini di tangga ketiga.

Bagaimanapun, mereka sempat mengharapkan pasukan tersebut dapat bangkit bagi musim akan datang dalam harapan memburu gelaran ketiga NSL meskipun tahu kebolehan pasukan lain semakin meningkat saban tahun.

"Alhamdulillah, tahniah Johor Jewels. Namun, banyak lagi diperlukan untuk ditambah baik demi mengembalikan kejuaraan bagi musim depan," kata Cahaya Nur.

Johor Jewels menjuarai dua gelaran NSL berturut-turut.

"Tahniah Johor Jewels, banyak kekurangan tahun ini. Tetapi, tidak mengapa kerana pasukan lain juga sudah ditambah baik. Tiada rezeki kita kali ini. Tahniah juga buat pasukan lain," kata Is Ma Banjar.

Untuk rekod, dalam peringkat kumpulan sebelum ini, Johor Jewels menamatkan saingan di tangga ketiga selepas mengumpul 15 mata, termasuk mengalami dua kekalahan daripada tujuh perlawanan.

Prestasi kurang memuaskan itu membuatkan rata-rata peminat sukan bola jaring meramalkan skuad kendalian Tracy tidak dapat meneruskan dominasi dalam kempen kali ini.

Takhta NSL musim ini menjadi rebutan dua kelab Lembah Klang, KL Wildcats dan Putrajaya Dynamites yang masing-masing mempunyai peluang cerah untuk menjuarai pertandingan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram