Ibarat 'golden goal', debaran minit akhir saksikan KL Wildcats ungguli NSL 2025


  • Podium
  • Ahad, 23 Feb 2025

KL Wildcats menjuarai NSL 2025 selepas menundukkan Putrajaya Dynamites dalam satu perlawanan epik pada Ahad.

KUALA Lumpur (KL) Wildcats muncul juara Liga Super Bola Jaring (NSL) 2025 selepas menundukkan Putrajaya Dynamites dalam perlawanan akhir di Stadium Juara, KL pada Ahad.

Aksi cukup baik ditampilkan kedua-dua pasukan yang menyaksikan kedudukan terikat 44-44 sehingga detik akhir permainan yang menunjukkan mutu dua finalis berkenaan.

Namun, penguasaan awal jelas ditunjukkan KL Wildcats yang bermula langkah kanan dalam 15 minit pertama dengan taktikal dirancang membuahkan hasil untuk mereka mendahului 14-7.

BACA LAGI: 'Dah jangka awal', Johor Jewels gagal pertahan kejuaraan usai tewas kepada Wildcats

BACA LAGI: [VIDEO] KL Wildcats kekal rekod ‘perfect’ baham Johor, fans kecewa taktikal Jewels mudah dibaca

Jaringan saat akhir permainan membolehkan KL Wildcats menjuarai NSL 2025.

Enggan mengibar bendera putih terlalu awal, Putrajaya Dynamites kembali mendapatkan rentak untuk bangkit mengejar jurang kedudukan dengan corak serangan yang lebih agresif untuk terikat 31-31, dan babak ketiga tamat dengan kedua-dua pasukan terikat 33-33.

Bagaimanapun, jaringan import KL Wildcats, Nassanga Shadiah pada saat akhir permainan memberikan kemenangan buat pasukan bimbingan Ching Li Li dengan sorakan kedengaran daripada venue perlawanan.

Ini kerana ia merupakan kali pertama kelab Lembah Klang tersebut muncul juara pertandingan selepas kurang bernasib baik dalam edisi yang lalu, termasuk muncul naib juara dua tahun lalu.

Malah, ratusan penyokong yang hadir turut berasakan kemeriahan, lebih-lebih lagi dengan debaran minit akhir membuatkan penyokong sukar melupakan aksi epik kedua-dua pasukan berkenaan.

KL Wildcats tersenyum dengan kejayaan dilakar di Stadium Juara pada Ahad.

"Tahniah diucapkan buat KL Wildcats, sengit seperti sedang tonton bola sepak. Saya boleh kata ibarat 'golden goal' pada minit-minit akhir. Tipis sahaja kekalahan," kata Amir Nurudin.

"Alhamdulillah, aku berpuas hati apabila KL Wildcats muncul juara. Tetapi, apa yang lebih menarik adalah kerana jaringan hujung permainan itu, memang amat merisaukan. Nasib baik dapat skor," kata Yu YuNnAchykx.

Momentum cemerlang kedua-dua finalis musim ini dapat disaksikan sejak peringkat kumpulan apabila Putrajaya Dynamites berada di tangga teratas sementara lawan mereka itu menamatkan saingan di kedudukan kedua.

Bagaimanapun, pengalaman dan kebolehan pemain KL Wildcats menyaksikan mereka mendakap kejuaraan tersebut dengan Putrajaya Dynamites hanya boleh berpuas hati dengan status naib juara.

Dalam pada itu, juara bertahan, Johor Jewels, menyambar kedudukan ketiga selepas menewaskan Perak Phoenix 40-32 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat NSL 2025 yang berlangsung pada Ahad. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, InstagramWhatsApp