Kejayaan JDT jadi faktor utama penetapan tarikh final Piala Malaysia


  • Podium
  • Ahad, 23 Feb 2025

Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi pilihan MFL untuk final Piala Malaysia.

KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang FC, Datuk Mohammed Suffian Awang menyatakan keyakinan bahawa pasukan itu bersedia untuk menghadapi Perlawanan Akhir Unifi Piala Malaysia 2024-2025 yang dijadualkan pada 12 April depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut beliau, ketetapan tarikh yang dibuat oleh Malaysian Football League (MFL) perlu diterima dengan baik, selaras dengan pemahaman terhadap faktor-faktor penting yang mendorong kepada keputusan tersebut.

Antaranya, kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) layak ke pusingan 16 Liga Juara-Juara AFC Elite (ACLE) menjadi salah satu faktor utama dalam penetapan tarikh final Unifi Piala Malaysia, di mana kemaraan kelab Harimau Selatan di pentas Asia itu turut memberi impak besar kepada perkembangan bola sepak tanah air.

BACA LAGI: Piala Cabaran bukan ‘standard’ Selangor — Legenda Merah Kuning

BACA LAGI: [VIDEO] 'Ada budak tengok game', sambutan gol lucah KL City dikritik penyokong

“Saya mendapat maklum bahawa final Unifi Piala Malaysia kali ini akan berlangsung pada 12 April. Semua sedia maklum bahawa tarikh ini masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, tetapi pada pandangan saya, 12 April adalah tarikh yang tersedia dan dibuat oleh pihak penganjur, MFL.

“Tambah lagi, dengan pencapaian cemerlang JDT yang membawa nama negara di peringkat antarabangsa, hal itu juga menjadi keutamaan untuk memberi laluan kepada mereka. Jadi bagaimanapun, saya pasti pasukan Sri Pahang FC bersedia untuk bermain pada tarikh tersebut.

"Selain itu, saya percaya sudah tentu baki perlawanan Liga Super ini adalah sebahagian daripada persiapan menjelang Unifi Piala Malaysia.

"Saya yakin ketua jurulatih, Fandi Ahmad dan barisan kejurulatihannya telah menyusun rapi persediaaan seterusnya untuk memastikan kami tampil dengan aksi terbaik, walaupun saya menjangkakan kami mungkin kehilangan beberapa tonggak penting pada final nanti," katanya.

Datuk Suffian turut menyeru para penyokong setia Tok Gajah untuk bersedia turun ke stadium pada tarikh berkenaan, demi memberi sorakan penuh semangat buat pemain-pemain Sri Pahang FC.

"Ini bola sepak, dan kami akan menentang pasukan terbaik negara. Pasukan Sri Pahang pastinya mengharapkan ‘pemain ke-12’ untuk hadir beramai-ramai ke stadium dan memberikan sorakan padu kepada pasukan,” tambahnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram