PADA 24 Oktober lalu, Liverpool meraikan kejayaan manis membelasah musuh ketatnya, Manchester United 5-0 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di gelanggang lawan.
Dalam perlawanan itu, pemain sayap The Reds, Mohamed Salah terus menjadi igauan The Red Devils apabila berjaya meledak hatrik.
Salah menjadi pemain lawan pertama yang berjaya mencatat hatrik di Old Trafford dalam saingan EPL.
Lebih manis, pemain antarabangsa Mesir itu turut mencatat rekod peribadinya pada hari itu dengan menjadi pemain Afrika yang meledak gol paling banyak di EPL mengatasi bekas penyerang Chelsea, Didier Drogba, yang mencatatkan 104 gol.
Apa yang lebih mengagumkan ialah, Salah mencatatkan rekod tersebut dengan jumlah penampilan yang jauh lebih rendah berbanding Drogba, hampir 90 perlawanan kurang daripada bekas pemain Ivory Coast itu.
Salah pertama kali tiba di England pada Januari 2014, menyertai Chelsea dari Basel, tetapi hanya menjaringkan dua gol dalam 13 perlawanan liga untuk The Blues sebelum dua tempoh pinjaman di Itali lalu menyertai Roma secara tetap pada tahun 2016.
Selepas musim cemerlang bersama Roma, Salah kemudian kembali lagi ke England apabila Liverpool menandatanganinya dengan harga £36.5 juta (RM204.6 juta), yang mendapat kritikan sesetengah pihak kerana penampilannya di England sebelum itu tidak begitu memberangsangkan.
Salah ketika menyarung jersi Chelsea. — Reuters
Namun, Salah menutup mulut pengkritik yang tidak percaya akan kemampuannya untuk beraksi di EPL apabila menamatkan musim sulungnya dengan 32 gol dalam 36 perlawanan liga.
Namun, istilah ‘one season wonder’ dilontarkan kepadanya kerana ramai yang berpendapat ia hanyalah ‘nasib’ dan dia tidak akan dapat mengulangi pencapaian itu lagi pada musim-musim seterusnya.
Ya, mungkin benar dia tidak berjaya mencapai 30 jaringan pada musim-musim berikutnya, tetapi Salah tetap meneruskan prestasi luar biasanya.
Dalam empat musim penuhnya di Merseyside, Salah tidak pernah mencatatkan kurang daripada 15 gol liga dalam semusim, satu tahap konsistensi yang tidak ramai pemain EPL lain boleh banggakan.
Bahkan, hanya sekali dia mencatatkan kurang daripada 20 gol liga dalam satu musim ketika bersama The Reds, iaitu pada kempen 2019/20 dengan 19 gol, ketika Liverpool menamatkan penantian 30 tahun mereka untuk kejuaraan liga domestik.
Dengan 10 gol dalam 10 penampilan liga setakat ini, Salah dilihat tidak mempunyai masalah untuk mengekalkan rekod berkenaan, malah mungkin berjaya mengulangi pencapaian musim pertamanya.
Selain membantu Liverpool memenangi gelaran EPL, trofi Liga Juara-Juara, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab FIFA sejak tiba di Anfiled pada 2017, Salah juga memecahkan pelbagai rekod, antaranya penjaring terbanyak dalam satu musim EPL 38 perlawanan, pemain paling banyak merangkul anugerah Pemain Terbaik Bulanan dalam satu musim dan menjaringkan gol menentang pasukan paling banyak dalam satu musim EPL.
Setakat musim lalu, Salah telah menjaringkan 125 gol dalam 203 penampilan seluruh pertandingan untuk The Reds, satu jumlah yang amat cemerlang.
Pemain berusia 29 tahun itu juga pernah merangkul anugerah kasut emas sebanyak dua kali dan pemain terbaik EPL sebanyak satu kali, serta pernah dianugerahkan sebagai pemain bola sepak Afrika terbaik sebanyak dua kali, pada tahun 2017 dan 2018.
Pada musim ini, Salah sudah menjaringkan 15 gol dalam 14 perlawanan dalam semua pertandingan. — Reuters
Walaupun mempunyai rekod jaringan yang baik serta mengumpul pelbagai anugerah peribadi, nama Salah sering tenggelam apabila bercakap tentang pemain terbaik di dunia.
Salah tidak pernah berada di posisi tiga teratas dalam anugerah Ballon d’Or, dengan kedudukan terbaiknya adalah di tangga kelima pada tahun 2019.
Dia juga tidak pernah sekalipun tersenarai dalam kesebelasan terbaik dunia FIFA FIFPro.
Bukan itu saja, Salah juga dilihat tidak begitu dinilai tinggi dalam pentas EPL.
Peminat dan pengkritik bola sepak sering bercakap tentang Drogba, Thierry Henry, Alan Shearer, Cristiano Ronaldo, Wayne Rooney dan lain-lain apabila membariskan penggempur terhandal dalam sejarah EPL, tetapi mengapa nama Salah disisihkan daripada senarai tersebut, sedangkan statistik cukup jelas membuktikan dia layak berada sebaris dengan nama-nama berkenaan.
Bahkan, Salah mempunyai rekod yang lebih baik daripada sebahagian pemain-pemain tersebut.
Salah juga bermain di posisi sayap, berbeza dengan majoriti pemain berkenaan yang merupakan penyerang tengah.
Apakah yang perlu dilakukan lagi oleh pemain Mesir itu untuk mendapat pengiktirafan selayaknya, diiktiraf sebagai salah seorang pemain terbaik di dunia dan juga di EPL? Jadi, siapa yang bersalah apabila membuat tanggapan yang salah mengenai Salah?
Mungkin media dan peminat bola sepak terlalu keras dalam menilai pemain itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram