BEKAS pemain kebangsaan, Liridon Krasniqi seolah-olah memberi bayangan akan kembali beraksi selepas berehat panjang apabila tidak berjaya menyertai mana-mana pasukan Liga Super musim ini.
Pemain naturalisasi kebangsaan itu tidak mendapat tempat di dalam mana-mana pasukan selepas kontraknya bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) musim lalu tamat.
Walaupun dipinjamkan ke Terengganu FC pada musim lalu, pihak pengurusan Sang Penyu turut tidak berminat mendapatkan Liridon secara tetap meskipun pemain berusia 33 tahun itu berjaya membantu mereka layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia 2023.
BACA LAGI: [VIDEO] PSSI lantik Patrick Kluivert 'buang' STY, 3 bintang berpeluang kembali perkasa Sang Garuda
Untuk rekod dalam 30 penampilan bersama Terengganu, Liridon berjaya menjaringkan dua gol serta satu 'assist' dan ia bukanlah pencapaian terbaik pernah direkodkan pemain kelahiran Kosovo itu.
Selepas setahun tidak beraksi secara profesional, Liridon pada Rabu (8 Januari) dalam Instagramnya memberikan gambaran akan membuat kemunculan semula bersama pasukan baharu.
Liridon telah memuat naik beberapa gambar beserta ayat yang mana juga tertulis "Isteri saya beritahu saya: Saya (isteri) mahu melihat awak kembali di atas padang secepat yang mungkin."
Liridon turut memuat naik kapsyen yang mana dia berada dalam misi tersendiri dengan gambar utama tertera ayat 'This comeback is personal'.
Posting yang dimuat naik oleh Liridon itu menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan penyokong Malaysia yang merindukan aksinya bersama Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebelum dinaturalisasikan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada 2020.
Dengan memegang status 'free agent', Liridon bebas untuk memilih dan menyertai mana-mana pasukan Liga Super yang memerlukan kualiti bekas pemain tengah kebangsaan itu.
Untuk rekod, Liridon pernah berkelana ke luar negara dengan menyertai beberapa pasukan seperti Newcastle United Jets (Australia), Odisha FC (India) dan Khon Kaen United (Thailand).
Sebelum ini, Liridon juga pernah menawarkan diri untuk beraksi bersama Kedah secara percuma selepas pasukan itu berhadapan dengan pelbagai masalah tunggakan gaji.
Meskipun berkali-kali memasang cita-cita untuk kembali ke pangkuan Kedah, harapan itu tidak tercapai dengan Kedah memiliki perancangan berbeza musim ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram