
KEJAYAAN Johor Darul Ta'zim (JDT) berjaya melayakkan diri ke pusingan kalah mati Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) wajar mendapat pujian seluruh penyokong bola sepak Malaysia.
Harimau Selatan yang mudah menundukkan wakil Korea Selatan, Pohang Steelers 5-2 di halaman sendiri berjaya membawa JDT ke pusingan kalah mati selepas kali terakhir melakukannya pada 2022.
Dalam perlawanan itu, jaringan Arif Aiman Hanapi mencuri tumpuan seluruh penyokong di stadium selepas memanfaatkan kesilapan penjaga gol, Yun Pyeong-gook sekali gus mudah membawa bola masuk ke dalam gawang gol lawan.
BACA LAGI: Bukan saja Pohang, 3 lagi kelab Korea Selatan alami mimpi ngeri ketika JDT 'sambut tetamu'
Kejayaan menempa nama di pentas Asia itu sememangnya wajar untuk diraikan dengan nama pemilik pasukan, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dijulang 'ekor' Harimau Selatan.
Bagaimanapun, sekiranya dilihat kepada usaha-usaha terdahulu, ia bukanlah perkara mudah bagi skuad Harimau Selatan membina reputasi kerana mereka juga pernah hadir dengan reputasi kurang mencabar antara lima ke 10 tahun lalu.
Malah gawang JDT juga pernah dirobek oleh beberapa pemain import Liga Malaysia di pentas Asia sebelum mereka berhijrah ke negara ini.
Majoriti senaraikan empat pemain import pernah sekat hajat JDT melangkah lebih jauh di pentas Asia sebelum menyertai Liga M:
1. Lazarus Kaimbi
Sebelum menyertai TRW Kelantan pada 2018, Lazarus Kaimbi pernah menyekat hajat JDT untuk mara ke pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara Asia 2015 (ACL 2015) di Bangkok, Thailand.
Ketika itu Lazarus yang mewakili Bangkok Glass (kini dikenali sebagai BG Pathum United) meledak dua gol untuk menewaskan Farizal Marlias.
Lazarus (kiri) ketika menentang JDT dalam aksi ketiga kelayakan ACL 2015 di Bangkok, Thailand. — Agensi
Dalam perlawanan itu, JDT terpaksa berputih mata apabila pulang dengan kekalahan 0-3 dalam aksi debut Harimau Selatan di pentas Asia.
Selepas enam tahun berkelana di Thailand, Lazarus mengembangkan bakatnya di Malaysia dengan menyertai TRW Kelantan, Sri Pahang FC dan PDRM FC sebelum kembali ke negara kelahirannya, Namibia pada 2022.
2. Jaycee John
Penyokong bola sepak tempatan pasti tidak mengetahui akan kehadiran Jaycee John Okwunwanne dalam kancah bola sepak Malaysia pada 2019.
Ini kerana Jaycee hanya bertahan selama enam bulan dalam Liga Super bersama Felda United sebelum kembali ke bumi Thailand untuk bersama Bangkok United.
Bersama Bangkok United juga, Jaycee pernah merobek gawang gol JDT dalam aksi kelayakan kedua ACL 2017 apabila dia menjadi hero untuk mengheret Harimau Selatan hingga ke penentuan penalti.
Jaycee (kiri) menjadi hero buat Bangkok United selepas menyamakan kedudukan.— JDT
Jaycee menjaringkan gol pada minit ke-120 perlawanan untuk menyamakan kedudukan 1-1 selepas 12 minit Safiq Rahim meledak buat Harimau Selatan.
Namun dalam penentuan sepakan penalti, JDT menang 6-5 selepas Anthony Ampaipitakwong gagal menyempurnakannya.
3. Heberty Fernandes
Dulu mungkin musuh, kini Heberty Fernandes antara wira yang membawa JDT layak ke pusingan kalah mati ACLE buat kali kedua.
Mengimbas semula tujuh tahun lalu, Heberty pernah membelasah JDT dengan keputusan 5-2 di Bangkok semasa pusingan kelayakan kedua ACL 2018.
Heberty kini merupakan watak penting buat Harimau Selatan. — Agensi
Heberty yang diturunkan sebagai penyerang utama Muangthong United meledak dua gol dan satu assist untuk menendang keluar JDT dari saingan Asia.
Selepas sembilan tahun, JDT mendapatkan khidmat Heberty secara pinjaman dari Bangkok United sebelum menandatangani secara tetap pada 2023.
Sepanjang menyarung jersi Harimau Selatan, Heberty telah menjaringkan 26 gol serta 13 'assist' dalam 55 penampilannya di semua kejohanan domestik dan antarabangsa.
4. Takahiro Kunimoto
Kedatangannya Takahiro Kunimoto ke bumi Darul Ta'zim dianggap sebagai pengganti ideal untuk Leandro Velazquez yang ketika itu mengalami masalah kecederaan.
Namun semuanya tampak tidak menjadi buat pemain berusia 28 tahun itu apabila ditunjukkan jalan keluar selepas tujuh bulan bersama Harimau Selatan.
Kunimoto (tengah) diasak oleh dua pemain JDT. — Agensi
Untuk rekod, Kunimoto pernah merobek gawang gol JDT dalam saingan ACL 2019 ketika mewakili Gyeongnam FC sekali gus membantu bekas pasukannya itu membawa pulang kenangan manis selepas kedua-dua gagal melepasi kedudukan dua terbaik Kumpulan F.
Dalam perlawanan itu, Gyeongnam menewaskan JDT dengan keputusan 2-0 sekali gus meletakkan Harimau Selatan di tangga terbawah Kumpulan F. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram