Dokumentasi kerakyatan sudah selesai, kehadiran Ferdy Druijf dianggap satu perjudian


  • Podium
  • Sabtu, 22 Feb 2025

Druijf dikhabarkan akan menyertai Harimau Malaya tidak lama lagi. — Instagram/Ferdy Druijf

FERDY Druijf, pemain yang dicanang akan memperkuatkan Harimau Malaya menjelang perlawanan kempen Kelayakan Piala Dunia FIFA 2026/Piala Asia 2027 dikhabarkan tidak lama lagi menjadi sebahagian keluarga skuad kebangsaan. 

Selepas beberapa bulan dicanang menjadi pemain Harimau Malaya, proses dokumentasi bekas penyerang PEC Zwolle berkenaan dilaporkan sudah pun selesai. Ia selepas hantaran dari pemerhati bola sepak tempatan, Zulhelmi Zainal Azam.  

"Dokumentasi seorang pemain warisan negara sudah selesai, posisi penyerang difahamkan Ferdy Druijf yang kini turut bergelar ejen bebas selepas kontraknya bersama SK Rapid juga sudah ditamatkan," tulisnya di laman X pada Sabtu. 

BACA LAGI: [VIDEO] Petik nama TMJ, Ferdy Druijf semakin hampir sarung jersi Harimau Malaya?

BACA LAGI: Subra anggap sparring Selangor biasa-biasa, tak setanding Top 4 seperti JDT, TFC dan Kedah

Bagi yang tidak mengikuti perkembangan Druijf, penyerang berusia 27 tahun itu sebelum ini didakwa mempunyai pertalian darah dengan Malaysia menerusi ibunya.

Pemain berketinggian 1.90 meter berkenaan mempunyai profil yang sangat baik apabila menjadi tonggak utama buat setiap pasukan diwakilinya seperti Rapid Vienna, PEX Zwolle dan kelab-kelab berpangkalan di Belanda, Austria dan Belgium.

Penyerang kelahiran Belanda itu pernah mewakili Rapid Vienna (Austria), AZ Alkmaar, NEC Nijmegen (Belanda) dan KV Mechelen (Belgium) dan telah meledak 112 gol serta 21 bantuan jaringan dalam 265 penampilan.

Berdasarkan rekod Druijf, pemain berketinggian 1.90 meter ini cukup lincah dan versatil di posisi hadapan sekali gus boleh beraksi sebagai pemain tengah menyerang dan juga penyerang utama.

Bagaimanapun, ramai penyokong khuatir dengan stamina pemain tinggi lampai itu susulan dia terlepas sebahagian besar aksi musim lalu apabila mengalami kecederaan teruk dan perlu menjalani proses pemulihan yang panjang.

"Ferdy ini dah satu tahun lebih tak main. Dua kali pembedahan lutut tahun lepas, sebab itu club terminate kontrak..agak gamble sebenarnya kita bagi kerakyatan. Harap dapat buat kemunculan kembali dan dapatkan semula stamina," kata penyokong, bgmn.

"27 tahun, penyerang dan tiada kelab. Hanya muncul 15 kali sepanjang musim 2023-2024 dengan lima gol. Anda pasti mahu menjemput pemain ini ke dalam pasukan kebangsaan? Adakah penyerang Malaysia begitu teruk hingga memerlukan dia," tanya penyokong bola sepak, BW. 

Walaupun Druijf dibayangi dengan masalah kecederaan namun skuad Harimau Malaya di bawah bimbingan Peter Cklamovski pasti sudah menyusun program untuk mengembalikan prestasi pemain baharu Malaysia itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di TwitterFacebook, Instagram dan Telegram