SELANGOR FC memastikan gelaran Cabaran Asia Selangor (SAC) 2024 menjadi milik mereka selepas menumbangkan juara Liga Laos, Young Elephants FC 4-0 pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada Ahad.
Dua kemenangan berturut-turut dilakar anak buah Nidzam Jamil itu membolehkan mereka mengungguli saingan dengan 14 mata keseluruhan selepas kemenangan ke atas Young Elephants FC membantu mereka menambah tujuh lagi mata.
Sebelum ini, mereka sudahpun mengutip tujuh mata hasil kemenangan besar 4-0 ke atas wakil dari Brunei, DPMM FC pada aksi pertama, Jumaat lalu.
BACA LAGI: 'Ref botak is back', Zulkarnain Zakaria turun padang panas badan jadi pengadil pramusim
Alvin Fortes (kanan) berjaya memikat hati penyokong Selangor dengan skil berkualiti tinggi dipamerkannya.
Selangor telah menjaringkan lapan gol dan mengekalkan rekod tanpa bolos dalam kejohanan ini sebagai persediaan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi aksi Piala Sumbangsih pada 10 Mei nanti.
Namun begitu, kemenangan diraih Selangor itu menimbulkan persoalan buat lagenda bola sepak negara, S. Subramaniam dengan menganggap pasukan jemputan SAC 2024 mempunyai jurang kualiti yang sangat jauh sehingga sukar untuk mencari kelemahan Gergasi Merah.
Katanya, pasukan kendalian Nidzam Jamil tidak dapat menguji kekuatan sebenar kerana bertemu pasukan yang lebih lemah.
“Kita tidak dapat melihat kelemahan Selangor kerana kita bertemu dengan pasukan yang kurang tahapnya berbanding mereka.
“Sepanjang pramusim ya mereka menjaringkan banyak gol tetapi tiada pasukan yang betul-betul mencabar mereka.
“Mereka tidak bertemu dengan pasukan Top 4 seperti Kedah kerana mereka akan bertemu pada aksi kedua Liga Super. Sama seperti JDT (bagi aksi persahabatan) kerana akan beraksi bagi Piala Sumbangsih.
“Tetapi di sini persiapan mereka akan terbantut kerana tiada pasukan setara yang menguji mereka,” jelasnya kepada Astro Arena.
BACA LAGI: 'Ref botak is back', Zulkarnain Zakaria turun padang panas badan jadi pengadil pramusim
Kedudukan pasukan dalam SAC selepas tamatnya perlawanan antara Selangor dan Young Elephants.
Subramaniam juga menganggap terdapat tiga pasukan yang memiliki kekuatan yang lebih baik berbanding Selangor ketika ini.
“Saya merasakan aksi pramusim sepatutnya bertemu pasukan yang mampu mencabar kita. Jadi barulah kita boleh melihat keadaan pemain, strategi yang mahu digunakan dan lain-lain.
“Kita hanya nampak satu sahaja strategi Selangor iaitu menyerang dan proaktif, tetapi ketika bertemu pasukan yang lebih kuat seperti JDT, Kedah dan Terengganu, mampukah mereka memperagakan aksi yang sama,” luahnya.
Perkara yang dinyatakan Subramaniam turut mendapat respons daripada peminat dengan mengatakan pihak penganjur perlu menjemput pasukan yang lebih kuat.
“Jemput kuat sikit tahun depan, juara Liga Vietnam, Thailand atau Australia yang dekat dengan Malaysia,” ujar Awie Aziman.
“Jangan kata menakjubkan kalau lawan kelab Laos, Brunei dan Singapura mestilah kena menang,” luah Tiger HM.
“Rugi buat pramusim kalau hujung-hujung JDT yang juara Liga Malaysia,” jelas Nauli Daulay. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram